'Kami peniaga kedai emas pun sudah gadai barang kemas' - Utusan Malaysia

‘Kami peniaga kedai emas pun sudah gadai barang kemas’

ZAKARIA YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kalangan peniaga di Pasar Payang 2 di sini merayu agar kerajaan dapat melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di negeri ini bagi membantu ekonomi mereka yang semakin tenat.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Terengganu, Zakaria Yusof berkata, kelonggaran berkenaan dapat membolehkan lebih 70 peniaga kedai emas dan batik di pasar pelancongan terkenal itu mencari rezeki selepas hilang punca pendapatan sejak sebulan lalu.

Katanya, langkah itu wajar memandangkan jumlah kes harian Covid-19 di Terengganu kini menurun ke dua digit dalam tempoh minggu lalu, sekali gus tiada halangan untuk pembukaan penuh sektor ekonomi.

“Setiap hari ahli-ahli bertanya bilakah mereka dapat berniaga semula kerana wang simpanan sudah berkurangan.

“Orang ramai menganggap kami peniaga emas dan batik mempunyai duit yang banyak, malah saya sudah dua kali menggadai barang kemas di kedai untuk membayar hutang pembekal di samping sewa serta belanja harian keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zakaria berkata, selain kebenaran beroperasi, aktiviti rentas daerah juga perlu dipertimbangkan bagi merancakkan ekonomi peniaga di Pasar Payang 2 yang semakin terdesak.

Katanya, sekiranya perniagaan terus ditutup dalam jangka masa lama, tidak mustahil ramai peniaga di negeri ini bakal gulung tikar.

“Walaupun ada peniaga yang sudah beralih kepada jualan dalam talian tetapi tidak semua mendapat sambutan yang baik berbanding kaedah tradisi menjual di kedai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya