WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani satu perintah eksekutif bagi mewujudkan satu rangka kerja sukarela yang membolehkan syarikat pembangun kecerdasan buatan (AI) berkongsi model termaju mereka dengan pihak kerajaan sebelum ia dilancarkan kepada umum.
Peruntukan utama dalam perintah tersebut membenarkan syarikat-syarikat gergasi seperti OpenAI, Google atau Anthropic untuk memberikan akses kepada kerajaan bagi menguji model AI paling berkuasa milik mereka selama tempoh sehingga 30 hari sebelum tarikh pelancaran yang dirancang.
Langkah ini dilaporkan tercetus ekoran kebimbangan mengenai model Mythos rekaan syarikat pemula AI, Anthropic.
Model berkenaan terpaksa ditahan daripada akses awam oleh syarikat terbabit disebabkan keupayaannya yang dikesan mampu mendedahkan kelemahan sistem komputer, termasuk sistem milik perbankan, kerajaan serta hospital.
Tempoh masa pengujian selama 30 hari itu merupakan satu bentuk jalan penyelesaian atau kompromi yang dicapai antara kedua-dua belah pihak.
Berdasarkan draf asal, pihak kerajaan sebelum ini menuntut akses pra-pelancaran sehingga 90 hari, manakala syarikat-syarikat teknologi pula mendesak agar tempoh berkenaan dikurangkan kepada 14 hari sahaja.
Ketua Hal Ehwal Awam Google, Kent Walker menyifatkan perintah eksekutif berkenaan sebagai satu langkah penting ke hadapan yang akan memastikan pihak keselamatan mempunyai alatan AI yang diperlukan bagi mengekalkan tahap keselamatan di AS.
Upacara menandatangani perintah eksekutif ini akhirnya terlaksana selepas berdepan situasi tidak menentu selama beberapa minggu di Rumah Putih.
Sebelum ini, pihak pentadbiran dilaporkan sudah hampir bersedia untuk mengumumkan langkah berkenaan, namun terpaksa membatalkannya secara mengejut.
Menurut laporan media Politico dan beberapa agensi berita lain, pelabur modal teroka Silicon Valley yang berkhidmat sebagai penasihat khas AI dan kripto kepada Trump, David Sacks telah menghubungi beliau untuk memberikan amaran.
Sacks menegaskan pelaksanaan langkah terbabit hanya akan memperlahankan fasa inovasi serta menjejaskan kedudukan AS dalam persaingan teknologi AI menentang China.
Menerusi hantaran di platform X pada minggu lalu, Sacks menyatakan pengenalan peraturan yang tidak diperlukan merupakan ancaman terbesar kepada inovasi di AS.
Menurut beliau, bagi memenangi perlumbaan teknologi AI, negara berkenaan perlu menghapuskan segala bentuk karenah birokrasi daripada badan perundangan negeri serta ahli politik Washington yang berhaluan kiri.
Selain daripada perkongsian model AI, perintah eksekutif terbabit turut mengarahkan Jabatan Perbendaharaan, Agensi Keselamatan Negara (NSA) serta Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur (CISA) untuk menubuhkan sebuah pusat penjelasan keselamatan siber AI. -AFP










