Jualan durian tetap laris - FAMA - Utusan Malaysia

Jualan durian tetap laris – FAMA

MOHAMAD Mustahapa Awang (kiri) bersama salah seorang pengusaha ladang durian, Lim See Kiang (kanan) menunjukkan bekalan durian yang dipasarkan di sekitar daerah Tangkak dan masih laris dijual di Tangkak, Johor. -UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Tiada isu lambakan durian sebaliknya permintaan terhadap raja buah itu terus meningkat sehingga tidak mampu menampung bekalan sedia ada.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Mohamad Mustahapa Awang yang menyatakan pembelian durian kini turut boleh diperoleh secara dalam talian menggunakan aplikasi Shopee bagi memudahkan permintaan ramai.

“Isu durian yang dikatakan tidak terjual adalah kerana terdapat segelintir peniaga yang baru sahaja menceburi bidang ini dan berkemungkinan kurang mendapat pendedahan mengenai strategi pemasaran bagi memasarkan durian.

“Sehubungan itu, FAMA sudah menggunakan platform jualan dalam talian iaitu Shopee untuk memastikan tiada lambakan durian pada musim yang sedang bermula di seluruh negara,” katanya ketika ditemui dalam Program Sesi Libat Urus FAMA Bersama Pemain Industri Durian Johor di Pejabat FAMA Tangkak, hari ini.

Justeru, menurut Mohamad Mustahapa, bagi kumpulan peniaga yang mendakwa terjejas dengan aktiviti jualan durian, FAMA sendiri telah merangka beberapa inisiatif sebagai membantu mereka mendapatkan hasil keuntungan yang baik meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Melalui platform Shopee, FAMA menganjurkan jualan dalam talian iaitu e-Durian Festival di e-FAMA Place yang sudah bermula pada 20 hingga 30 Jun ini bagi durian di Pulau Pinang, manakala dari 14 Julai hingga 1 Ogos pula bagi durian di negeri Johor diikuti Negeri Sembilan, Selangor dan Perak melalui platform sama.

“Ini adalah salah satu usaha FAMA dalam membantu mengatur pasaran durian di seluruh negara bagi mengelak berlaku lambakan buah-buahan berkenaan sepanjang musim yang sedang berlangsung ketika ini.

“Malah, FAMA juga telah bekerjasama dengan kilang-kilang memproses durian dan pihak mereka memaklumkan memerlukan bekalan durian yang banyak ketika ini yang sehingga kini ia masih tidak dapat diproses ekoran kekurangan bekalan,” katanya.

Menurut Mohamad Mustahapa, FAMA turut mewujudkan 43 Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara yang boleh digunakan untuk pemasaran durian ketika sekatan pergerakan penuh yang sedang berkuatkuasa ketika ini.

“Selain itu, FAMA juga sedia memberi latihan kepada petani untuk memasarkan durian mereka secara langsung menerusi media sosial seperti Facebook Shop, Facebook Market Place, YouTube, WhatsApp dan TikTok.

“Peniaga, pengusaha atau pekebun yang ingin mempelajarinya boleh berhubung dengan pihak FAMA berhampiran supaya mereka dapat memanfaat kemudahan teknologi semasa,” katanya.

Beliau berkata, isu pemasaran durian tidak begitu kritikal kerana FAMA juga mempunyai cawangan peruncitan sendiri dan bekerjasama dengan kilang untuk memproses durian dari pekebun dan pengusaha.

“FAMA sendiri mempunyai kilang memproses dan menggalakkan usahawan memasarkan secara terus. Jika pekebun atau pengusaha mengalami masalah memasarkan durian, mereka boleh menghubungi Pusat Pengurusan Krisis (CMC) di FAMA negeri atau di pejabat FAMA berdekatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN