Internet lebih laju, meluas di Kelantan menjelang 2022 - Utusan Malaysia

Internet lebih laju, meluas di Kelantan menjelang 2022

MUSTAPA Mohamed (dua dari kanan) mendengar taklimat mengenai pembinaan serta operasi  menara telekomunikasi di Kampung Kubang Tebik, Machang, Kelantan, hari ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Infrastruktur digital di Kelantan bakal dipertingkat selepas kerajaan menaik taraf 1,232 menara telekomunikasi sedia ada, membina 85 menara baharu dan meluaskan rangkaian gentian optik berkelajuan tinggi di 54,904 buah premis di seluruh negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, inisiatif tersebut membabitkan peruntukan berjumlah RM700 juta yang dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun, bermula tahun lalu hingga 2022.

Apabila projek tersebut siap, katanya, status liputan Internet 4G akan mencapai 96.3 peratus di seluruh negeri ini pada  2022.

“Setakat ini, sebanyak 18 buah menara telekomunikasi siap dibina pada April dan Mei lalu melibatkan Jeli, Tanah Merah, Gua Musang, Machang, Bachok, Pasir Putih dan Pasir Mas.

“Kesemua menara ini berada di kawasan luar bandar sesuai dengan dasar untuk merapatkan jurang digital antara bandar dan kampung-kampung,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke menara telekomunikasi di Kampung Kubang Tebit, di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Kelantan Abdul Mubin Mohd. Zain.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, sehingga kini terdapat 1,245 struktur menara selular di seluruh Kelantan dengan perkhidmatan 4G sudah meliputi 93.15 peratus, perkhidmatan 3G (95.98 peratus) dan perkhidmatan 2G (97.14 peratus).

Ahli Parlimen Jeli itu turut memberitahu, kerajaan juga sedang mentransformasikan Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara termasuk 70 PIK di negeri ini sebagai pusat sehenti bagi membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menguasai dunia digital.

“Pusat ini menjadi pusat sehenti untuk penduduk mendapatkan perkhidmatan digital dan khidmat nasihat. PIK di seluruh Kelantan mempunyai lebih 65,000 ahli berdaftar dan hampir 240,000 orang telah menyertai program latihan yang disediakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN