Inisiatif i-Citra bermatlamat kurangkan beban rakyat - Utusan Malaysia

Inisiatif i-Citra bermatlamat kurangkan beban rakyat

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan melaksanakan pengeluaran baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Citra adalah bagi mengurangkan beban pencarum yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya akui caruman KWSP adalah bagi memastikan kehidupan yang baik apabila bersara kelak.

“Namun, dengan keadaan ramai yang terjejas, kerajaan percaya dengan inisiatif i-Citra sudah pasti sedikit sebanyak akan mengurangkan beban yang dihadapi.

“Berdasarkan rekod pencarum yang layak adalah seramai 12.4 juta dan daripada jumlah itu, 8.7 juta pencarum mempunyai simpanan yang banyak manakala 3.7 juta lagi, kurang daripada simpanan yang dibenarkan keluar iaitu bawah RM5,000,” katanya dalam sidang akhbar mengenai Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) secara maya hari ini.

Kerajaan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu KWSP iaitu i-Citra dengan 12.6 juta ahli boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.

“Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka dikreditkan dalam akaun ahli pada Ogos 2021,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata, kerajaan memperuntukkan suntikan fiskal berjumlah RM83 bilion untuk membiayai lapan pakej rangsangan ekonomi termasuk Pemulih.

Katanya, ia merangkumi suntikan fiskal kerajaan bernilai RM38 bilion tahun lalu manakala baki RM45 bilion lagi untuk tahun ini.

“Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (Permai) membabitkan suntikan fiskal RM2.8 bilion; Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) berjumlah RM9 bilion.

“Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi tambahan (Pemerkasa+) pula berjumlah RM5 bilion dan Pemulih bernilai RM10 bilion,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN