Hospital, katil disiapkan tangani gelombang kes Covid-19 - Utusan Malaysia

Hospital, katil disiapkan tangani gelombang kes Covid-19

PENUNGGANG motosikal melepasi kawasan kampung di Jakarta yang dikawal selepas terdapat kes jangkitan Covid-19 dalam komuniti. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin menegaskan lebih banyak hospital dan katil sudah disiapkan di Jakarta untuk menangani satu lagi gelombang kes Covid-19.

Beliau juga meyakinkan orang ramai terdapat bekalan oksigen yang mencukupi di pulau Jawa.

Ini menyusuli rekod baru sebanyak 20,574 kes Covid-19 dilaporkan sehari sebelumnya, dengan Jakarta mencatat 7,505 jangkitan.

Berita Mediacorp melaporkan, dalam sidang akhbar, menteri itu berkata, Hospital Persahabatan, Hospital Sulianti Saroso dan Hospital Fatmawati, semuanya terletak di ibu kota, akan diubah sepenuhnya menjadi hospital Covid-19.

Pemerintah negara itu juga sedang menyiapkan hospital sementara Covid-19 yang baru di Jakarta.

Hospital-hospital tersebut akan ditempatkan di kompleks perumahan bersubsidi pemerintah di Nagrak dan Pasar Rumput.

Kemudahan sementara itu akan merawat pesakit-pesakit tidak bergejala dan mereka yang mengalami gejala ringan.

Sementara itu, Perkampungan Atlit Sukan Asia Jakarta 2018, yang sejak tahun lalu diubah menjadi hospital darurat sementara Covid-19, akan merawat pesakit dengan gejala yang berat.

“Oleh itu, kami akan menyediakan ratusan katil baru dengan peralatan lengkap (serta) para doktor dan jururawat berpengalaman untuk merawat pesakit-pesakit Covid-19 di Jakarta.

“Dan kami berharap, minggu ini pengubahsuaian itu akan selesai supaya dapat menambah jumlah katil untuk merawat penduduk Jakarta,” jelas Budi.

Beliau menambah, bilik-bilik kecemasan di hospital-hospital Jakarta juga akan diubah menjadi bilik pengasingan Covid-19, sementara khemah-khemah di luar hospital akan didirikan untuk berfungsi sebagai bilik kecemasan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN