fbpx

25 Jun 2021, 3:09 pm

  TERKINI

Harimau Malaya kalah melawan

Penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula dikawal rapat pertahanan Vietnam dalam aksi di Stadium Al Maktoum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA :  Walaupun tewas 1-2 kepada Vietnam namun pujian harus diberikan kepada skuad Harimau Malaya yang mempamerkan aksi cukup bersemangat dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, sebentar tadi.

Kekalahan itu sekali gus menutup peluang negara untuk mara ke peringkat seterusnya bagi kelayakan Piala Dunia dan akan melengkapkan aksi terakhir kumpulan G menentang Thailand 16 Jun nanti.

Turun dengan misi ‘wajib’ menang,  Malaysia mempamerkan aksi cukup bertenaga sebaik sahaja wisel ditiup namun gagal mencipta peluang untuk menguji penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong.

Sebaliknya, skuad Naga Emas hampir memperolehi gol pembukaan namun penyerang, Nguyen Tien Linh gagal melakukan tampanan dengan baik selepas menerima hantaran lintang rendah daripada Doan Van Hau pada minit ke-16.

Empat minit kemudian, giliran pasukan negara menguji gawang lawan menerusi percubaan Syafiq Ahmad pada minit ke-19 namun tepat ke dakapan Truong.

Bermula menerusi sepakan penjuru pada minit ke-27, tandukan kencang Tien Linh berjaya membuka gol pembukaan untuk meletakkan skuad kendalian Park Hang Seo mendahului skuad negara.

Malaysia hampir menyamakan kedudukan menerusi tandukan Syafiq yang menerima hantaran jauh Matt Davies namun ketangkasan Truong berjaya memastikan gawangnya tidak dibolosi pada minit ke-39.

Giliran Safawi Rasid untuk menguji penjaga gol lawan berusia 35 tahun itu menerusi sepakan bola mati namun sekali kali berjaya dinafikan Truong. 

 

Bersambung babak kedua, pengendali negara Tan Cheng Hoe melakukan dua pertukaran dengan memasukan Akhyar Rashid dan Nazmi Faiz Mansor menggantikan Safawi serta Syafiq bagi menambah tenaga baharu dalam pasukan.

Penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula turut mempunyai peluang keemasan menjaringkan gol penyamaan tetapi gagal memanfaatkan umpanan Nazmi pada minit ke-60.

Vietnam hampir memperolehi gol kedua pada minit ke-65 namun percubaan Nguyen Trong Hoang sekadar melintasi tiang gol kanan yang dikawal Farizal Marlias.

Kekasaran Van Hau ke atas de Paula berjaya menghadiahkan tendangan penalti buat negara dan sepakan itu disempurnakan dengan baik oleh penyerang kelahiran Brazil tersebut untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-72.

Tindakan Brendan Gan melakukan kekasaran ke atas penyerang Vietnam, Nguyen Van Toan dari belakang mengakibatkan pengadil perlawanan, Ryuji Sato menghadiahkan sepakan penalti, dan peluang itu mudah disempurnakan kapten pasukan, Que Ngoc Hai pada minit ke-73 untuk kembali mendahului.

Kemenangan itu menyaksikan Vietnam terus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kumpulan G dengan 17 mata mengatasi pencabar terdekat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mengutip 15 mata selepas mencatat kemenangan 5-0 ke atas Indonesia pada hari yang sama.

Skuad negara dijadualkan bertemu Thailand pada tengah malam Rabu depan manakala Vietnam akan menentang UAE.- UTUSAN