fbpx

Hamzah diberi tempoh 14 hari putuskan rayuan Pejuang

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin diberi tempoh selama 14 hari bermula hari ini bagi memutuskan rayuan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) untuk didaftarkan sebagai parti politik.

Perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas berpendapat menteri berkenaan mengambil masa yang terlalu lama dan tidak munasabah untuk memutuskan rayuan parti tersebut.

Sehubungan itu, Hakim Ahmad Kamal Md. Shahid membenarkan permohonan semakan kehakiman parti itu tanpa kos, agar perintah mandamus dikeluarkan terhadap menteri berkenaan selaku responden pertama.

Semakan kehakiman itu difailkan oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah (pemohon) dengan menamakan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai responden pertama dan kedua.

Hakim Ahmad Kamal bagaimanapun menolak permohonan pemohon agar RoS selaku responden kedua memuktamadkan pendaftaran Pejuang kerana relif yang dipohon berada di luar skop Seksyen 18(b) Akta Pertubuhan 1966.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Ahmad Kamal menyatakan, responden pertama melanggar kewajipan statutori di bawah Seksyen 18 akta itu kerana gagal membuat keputusan terhadap rayuan Pejuang sama ada permohonan itu ditolak atau diluluskan.


Beliau berpendapat, tempoh lima bulan setengah bermula 8 Januari lalu hingga kini yang diambil oleh menteri untuk membuat keputusan adalah tidak masuk akal dan melebihi tempoh masa yang munasabah.

Mahkamah berpendirian, tempoh masa yang munasabah yang perlu diambil adalah ‘secepat mungkin’ dan ‘dalam tempoh yang munasabah’, bukannya ‘selewat yang mungkin’.

Hakim Ahmad Kamal turut berpendapat, isu yang dibangkitkan dalam semakan kehakiman itu bukan berhubung keengganan RoS mendaftarkan Pejuang sebagai parti politik.

Sebaliknya, ia berkisar tentang kegagalan Menteri Dalam Negeri untuk memutuskan rayuan Pejuang sama ada untuk membenarkan, menolak atau mencapai keputusan berbeza dengan RoS.

Pada 2 Februari lalu media melaporkan, Pejuang yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung pendaftaran
parti itu setelah permohonan mereka ditolak.

Walaupun bersetuju dengan hujah responden bahawa Menteri Dalam Negeri perlu menyemak setiap rayuan secara teliti, Hakim Ahmad Kamal berpendapat, tempoh yang diambil perlu munasabah dan tidak terlalu lama jika isu yang dibangkitkan tidak terlalu rumit.

Dalam kes ini, beliau berpendirian, isu yang dibangkitkan bukan sesuatu yang rumit malah menteri itu mempunyai pembantu melaksanakan tugasnya termasuk menyediakan dokumen dan fail.

Walaupun menteri tidak dikehendaki menyediakan anggaran jangka masa, namun tanpa usaha untuk menyediakan jangkaan itu menyebabkan menteri gagal menjustifikasi tempoh munasabah yang sepatutnya diambil.

Dalam keputusannya, Hakim Ahmad Kamal turut menyatakan, responden berhujah bahawa terdapat 102 rayuan dan rayuan Pejuang didaftarkan pada nombor 90 dalam senarai.

Namun jelas beliau, mahkamah tidak jelas berapa jumlah rayuan yang berkaitan dengan pendaftaran parti dan sama ada rayuan yang lain mempunyai kepentingan sama yang memerlukan
menteri mengambil tindakan yang cepat.

Beliau sedia maklum bahawa menteri mempunyai tugas lain namun masa selama lima bulan setengah adalah tidak munasabah untuk memutuskan rayuan.

Hakim bicara turut menyatakan, dalam kes ini hanya menteri yang membuat keputusan dan tidak melibatkan pihak lain.

Oleh yang demikian, pada pendapat beliau, prosesnya tidak memerlukan masa yang lama untuk diputuskan kerana ia tidak sama seperti suruhanjaya yang mana pandangan semua ahli adalah penting untuk diambil kira.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Mior Nor Haidir mewakili Pejuang manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Peguam Persekutuan Liyana Muhamad Fuad mewakili Menteri
Dalam Negeri dan RoS.

Sementara itu, Amiruddin dalam satu kenyataan media berkata, berikutan keputusan itu Menteri Dalam Negeri perlu membuat keputusan terhadap rayuan sebelum atau pada 8 Julai ini.

Jelasnya, Pejuang akan berusaha dengan apa cara sekalipun mengikut lunas undang-undang bagi memastikan kelulusan pendaftaran sebagai parti politik yang sah.

POPULAR

KOSMO! TERKINI