Empat beradik yatim piatu tumpang kasih ibu, bapa saudara -

Empat beradik yatim piatu tumpang kasih ibu, bapa saudara

RASIDAH Baharim (berdiri, kanan) dan adiknya, Suzana (berdiri, kiri) bersama-sama empat anak saudara mereka yang menjadi yatim piatu selepas kematian ibu mereka di Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor. - UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Insan mana tidak bersedih apabila individu tersayang pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya, apatah lagi jika mereka merupakan tempat bergantung harap serta berkasih sayang.

Itu yang menimpa empat beradik di Taman Scientex di sini apabila orang kesayangan mereka iaitu datuk, nenek, bapa dan ibu meninggal dunia selang setahun berturut-turut.

Empat beradik itu yang masing-masing berusia setahun hingga tujuh tahun menjadi yatim piatu apabila ibu mereka, Nurul Wandiana Shakira Sapuan, 29, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini pada pukul 11 pagi, semalam.

Bapa saudara mereka, Adhar Baharim, 47, berkata, Nurul Wandiana meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam otak selepas mendapat rawatan di hospital sejak Selasa lalu.

“Pada mulanya dia demam, menggigil dan pengsan semasa dirawat di sebuah klinik sebelum dihantar ke HSI tetapi koma selama beberapa hari dan meninggal dunia semalam.

“Dia merupakan ibu tunggal dan menyara empat anaknya dengan berniaga secara dalam talian. Insiden ini menjadikan empat anak saudara saya kehilangan empat orang tersayang dalam masa singkat.

“Datuk di sebelah ibu mereka meninggal dunia pada 2018, disusuli nenek juga sebelah ibu pada 2019, kemudian bapa mereka, Mohd. Jamil, 37, meninggal dunia pada tahun lalu dan semalam pula ibu mereka,” katanya.

Adhar berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan bagi pihak anak-anak saudaranya daripada Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini hari ini.

Kisah mengenai empat beradik tersebut menjadi tular apabila seorang individu yang menziarah jenazah Nurul Wandiana mendakwa kanak-kanak itu akan terbiar selepas ini kerana kedua ibu bapa mereka sudah meninggal dunia.

Bagaimanapun Adhar menafikan dakwaan bahawa keempat-empat anak saudaranya akan hilang tempat bergantung dan tiada siapa akan menjaga mereka kerana didakwa tiada waris sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali.

Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru itu memberitahu, perbincangan untuk menjaga empat beradik itu sedang dilakukan dalam kalangan ahli keluarga mereka.

Sementara itu, ibu saudara kanak-kanak itu, Rasidah Baharim, 55, berkata, kemungkinan keempat-empat anak saudaranya itu akan tinggal bersama-sama adiknya, Suzana Baharim, 41, di Nilai, Negeri Sembilan.

“Kami adik-beradik akan mewujudkan satu tabung untuk mereka bagi menjaga keperluan dan kebajikan mereka sehingga dewasa.

“Kami tidak akan menyerahkan mereka untuk dijadikan anak angkat walaupun ada pihak yang mahu berbuat demikian,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Adhar di talian 017-740 8165 atau menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank miliknya, 151240002324.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN