PUTRAJAYA: Cubaan merentas kawasan antara kesalahan tertinggi ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam dengan 170 kes direkodkan daripada keseluruhan 841 individu ditahan.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 821 dikompaun manakala 20 lagi direman hasil pemantauan yang membabitkan 99,153 pemeriksaan oleh Task Force Operasi Pematuhan.
“Antara kesalahan lain ialah makan di premis sebanyak 170 kes diikuti tiada jarak fizikal dengan 165 kes, disusuli tiada pelitup muka (157), gagal merekod butiran di premis (103), tidak patuh arahan PKP (91), membawa penumpang berlebihan (87), aktiviti pusat hiburan (32) dan lain-lain (36),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, seramai 10 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan empat kenderaan darat dirampas melalui Operasi Benteng selain sebanyak 221 buah bot atau kapal yang dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan.
Katanya, seramai 556 individu yang tiba di tanah air semalam diarah kuarantin bersama sejumlah 8,045 individu masih lagi berada di pusat kuarantin di seluruh negara manakala 2,718 individu dibawa ke hospital untuk rawatan, selain 216,599 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 673 peruncit, 155 pemborong dan 32 pengilang termasuk melakukan sejumlah 1,397 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya sebanyak 15 premis yang terlibat dikenakan kompaun.
Sementara itu Ismail Sabri berkata, sejumlah lima lagi lokaliti di Sabah antara kawasan yang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak bermula Jumaat ini dengan tiga lokaliti terletak di Bahagian Tawau meliputi Perumahan Etara, Jalan Agaseh di Lahad Datu serta Kampung Bukit Gemuk, Kampung Tanjung Batu Keramat, Tawau.
Katanya, baki dua lagi lokaliti dikenakan PKPD selama tempoh 14 hari di negeri berkenaan ialah di Kudat yang membabitkan Kampung Landung Ayang dan Taman Lavender termasuk sebuah lokaliti di Sarawak iaitu Kampung Serikin, Bau, Kuching.
Di Semenanjung pula katanya, hanya satu lokaliti yang turut diwartakan PKPD iaitu Perumahan Awam Desa Rejang di Setapak Jaya, Kuala Lumpur.
Pada masa sama Ismail Sabri memaklumkan, dua lagi lokaliti di Sabah yang dikenakan PKPD akan berakhir esok seperti dijadualkan membabitkan PKPD di Sekolah Menengah Ugama Pantai Manis, Papar dan seluruh Mukim Pekan, Kunak.
Katanya, PKPD turut ditamatkan di 13 lokaliti di sekitar Pekan Bayan Lepas, Mukim 12, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang melibatkan Sri Bayu, Bayu Tiara, Bayu Nyaman, Halaman Murni, Bayan Permai, Bayan Tiara, Taman Ara Indah, Kampung Bukit, Kampung Perlis, Kampung Masjid, Jalan Mahkamah, Jalan Kampung Pak Lah dan Lebuh Kampung Bukit.









