ADA tapi tiada, begitulah kehidupan masa kecil pelakon, Aedy Ashraf, yang lahir tanpa disambut tangan seorang bapa yang ketika itu sedang menjalani hukuman penjara akibat jenayah membabitkan dadah dan senjata api.
Kali pertama dia bertemu bapa, Rosmadi, juga serba huru-hara iaitu pada usia tujuh tahun dalam keadaan dirinya diculik. Tekanan hidup membuatkan Aedy dilatih cepat mendewasa, bekerja sejak kecil mengambil alih tugas bapa bagi memberi makan keluarga yang ketika itu tinggal di rumah berkos rendah, PPR sekitar Gombak.
Kata Aedy atau Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 33, hidup dalam kemiskinan dengan makanan yang harus dicatu tiga beranak tidak mudah. Dia menyalahkan malangnya hidup dengan dosa bapanya. Jika ayahnya berguna, pasti hidupnya tidak seteruk itu.
Namun, pelakon Tentang Bulan itu mula merasakan dendam yang disimpan dalam hati semakin berat membuatkannya mengambil keputusan mencari bapanya di Kelantan untuk melunaskan masa lalunya. Tidak berharap kemaafan, tidak pula berhadap menjadi keluarga bahagia, Aedy hanya mahu bertemu ayah, itu sahaja.
“Waktu itu usia saya 16 tahun, rasa macam kena jumpa ayah supaya dendam ini saya tidak bawa sampai ke tua.
“Tidak harap apapun, tapi dengan tiket bas sekitar RM18, tindakan saya untuk berjumpa dia dan lepaskan segalanya itupun sudah cukup besar buat saya. Sebab kakak saya, sampai sekarang belum boleh maafkan ayah.
“Saya faham, memaafkan ini adalah perkara besar dan tidak semua perkara kita boleh ikhlaskan dalam masa singkat. Saya tidak tahu orang lain, tapi buat saya memaafkan bererti melupakan.
“Saya ada dendam hidup dalam kemiskinan dan salahkan ayah. Tapi bila fikir balik, dendam akan halang kita untuk pergi ke mana-mana. Lepas jumpa ayah, balik dari Kelantan bahu saya ringan,” katanya kepada Pancaindera dalam suara sengau akibat demam. Namun Aedy tetap mahu neneruskan temu ramah petang itu.

Setiap dendam memberatkan
Tambah Aedy, perasaan memaafkan dan melepaskan daripada pengalaman masa mudanya itu dibawa dalam watak Hatta dan Isa menerusi filem pertama terbitannya yang sedang hangat diperkatakan, Tarung: Unforgiven (Tarung).
Filem ini mengisahkan Hatta yang mahu meminta maaf atas kesilapan yang dilakukan dan Isa yang sukar memaafkan. Pilihan berbeza yang dipilih dua karakter sengara dilakukan Aedy dan pasukan pembikin menerusi Tarung.
“Tragedi terbesar dalam hidup saya adalah keluarga, saya anggap kekurangan. Dalam proses memaafkan saya jumpa sesuatu yang lebih besar iaitu memaafkan diri sendiri, itu bukan mudah.
“Kita boleh cakap dengan orang kita maafkan orang itu, tapi macam mana kita hendak cakap dengan diri sendiri? Benda itu saya rasa ramai orang ambil ringan.
“Memaafkan diri sendiri itu patut dilakukan dulu sebelum benda lain. Saya cuba sampaikan melalui filem ini melalui watak Hatta dan Isa.
“Manusia sering buat salah termasuklah kadangkala tidak sengaja. Kalau kita rasakan kita ini hanya manusia yang sering buat salah, kita akan sentiasa memaafkan orang lain. Sikap menghukum akan merosakkan pemikiran kita terhadap seseorang,” katanya.
Tambah Aedy, dia merasakan filem pertama terbitannya sebagai sebuah ijazah setelah terjun ke dalam bidang industri sejak kecil. Kejayaan terbesarnya apabila dia melihat senyuman manis terukir di wajah ibunya yang juga pelakon, Liza Zain.
“Ibu menangis, bagi saya, impian setiap orang ibu dekat dunia ini mahu tengok anak dia pegang ijazah. Tapi saya tidak sempat hendak sampaikan perkara itu sebab tidak pergi sekolah. Malam tayangan perdana tempoh hari itu saya anggap macam hari graduasi,” katanya.
Bukan itu sahaja, Aedy mengakui tersentuh apabila filem pertamanya itu juga ditonton oleh bapanya yang memandu dari Kelantan ke Terengganu untuk menonton filem pertama terbitan anaknya.
“Tiga hari lepas filem keluar, ayah ada mesej saya cakap dia pergi Terengganu mahu tengok Tarung sebab dekat Kelantan tiada panggung.
“Dia tulis ‘best cerita Tarung, menangis babah tengok’. Saya rasa dia faham apa yang saya hendak sampaikan dalam filem itu,” katanya.

Baik dibalas baik
Menjadi filem yang mendominasi carta panggung gergasi minggu pertama tayangan, Aedy mengakui tersentuh dengan sokongan semua sahabat lamanya sehingga ada yang sanggup menempah lima panggung demi menyokong penayangan Tarung: Unforgiven seperti dilakukan pempengaruh, Mickey Ayo.
“Saya habiskan sisa hidup saya dengan kawan-kawan. Banyak masa saya memang bersama kawan-kawan. I’m a bro’s bro, jadi saya tersentuh apabila kawan yang sama-sama susah dengan saya dahulu semuanya berjaya dengan jalan masing-masing serta tidak pernah lupakan saya.
“Saya hantar jemputan untuk hadir malam gala, mereka tidak fikir dua kali untuk datang dan sokong.
“Pada masa sama, saya hendak ucap terima kasih kepada orang yang datang beli tiket. Bila saya buat kejutan datang terjah panggung macam di One Utama, kita dapat tengok wajah-wajah yang mereka sangat gembira. Kami pembikin Tarung lebih gembira melihat wajah-wajah peminat yang ikhlas datang tonton filem pertama kita,” katanya.









