GEORGETOWN: Parti Gerakan menyeru pemimpin dan wakil rakyat parti lain mencontohi Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berpendirian tidak menyokong sebarang usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan di Parlimen.
Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, pada masa ini semua pihak perlu mengetepikan perbezaan politik serta memberi fokus dalam usaha menghentikan penularan Covid-19 dan membantu rakyat mendepani kehidupan mereka.
“Saya berasa lega dan gembira dengan keputusan UMNO yang tidak akan menyokong sebarang usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan di Parlimen.
“Ini kerana sekiranya pergolakan politik berterusan akan menjahanamkan negara apatah lagi dalam keadaan kes Covid-19 di masih tidak stabil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ahli-ahli Parlimen parti itu dan BN tidak akan menyokong sebarang usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan di Parlimen.
Selain itu Ismail Sabri berkata, mereka juga bersetuju Parlimen bersidang semula mengikut Peraturan Mesyuarat sedia ada atau mengikut apa-apa kesesuaian pindaan yang diperlukan.
Menurut Tong Keong, persetujuan ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN itu sudah pasti dapat meningkatkan kecekapan dan proses yang diambil semua pihak dalam bersama-sama melawan pandemik Covid-19.
“Biar kita lawan Covid-19, bangunkan ekonomi negara dan pulihkan kehidupan rakyat dahulu, kemudian barulah bincang mengenai politik.
“Seperti yang berlaku di Taiwan, seluruh warga mereka bekerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk membanteras penularan Covid-19 tanpa mengambil kira latar belakang politik masing-masing,” katanya.
Tambahnya, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dan sudah pastinya rakyat yang akan diberi kuasa untuk memilih pemimpin yang mereka ingini untuk memerintah dan memimpin negara melalui pilihan raya umum.
“Selepas negara pulih dari pandemik Covid-19, pilihan raya umum pasti akan diadakan seperti yang dijanjikan dan dijamin oleh Perdana Menteri,” katanya.