PONTIAN: Kegiatan licik satu kumpulan yang aktif menjadi pengangkut atau ‘transporter’ pemerdagangan manusia didalangi lelaki dikenali sebagai Boi tumpas apabila empat ahlinya diberkas dalam Op Benteng di jalan kebun di Parit Serong, Serkat, di sini pagi semalam.
Dalam operasi pada pukul 9.30 pagi yang dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu, turut ditahan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia.
Pegawai Pemerintah Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Superintenden Dimin Awang berkata, keempat-empat ‘transporter’ yang ditahan itu masing-masing berusia 21 hingga 45 tahun.
PATI yang diberkas pula terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita dewasa berusia antara 18 hingga 36 tahun.
“Hasil risikan dan maklumat yang diperolehi pasukan PGA telah melakukan tangkapan ke atas ketua sindiket dikenali sebagai Boi bersama tiga lagi konconya dalam Op Benteng.
“Kegiatan sindiket ini dipercayai aktif melakukan kegiatan penyeludupan migran sama ada untuk keluar atau masuk sejak setahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dimin berkata, siasatan awal mendapati PATI terbabit mengaku baru sahaja diseludup masuk melalui jalan laut ke Kampung Kubor Telok Kerang sebelum dibawa menaiki kenderaan dan ditahan di jalan kebun di Parit Serong.










