Belum ada filem zombi yang serius - Shaheizy Sam - Utusan Malaysia

Belum ada filem zombi yang serius – Shaheizy Sam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon popular, Shaheizy Sam, 39, melihat industri perfileman tanah air masih ketandusan naskhah-naskhah bermutu yang memfokuskan penceritaan berelemen zombi biarpun hakikatnya penonton tempatan menggemari karya seperti itu.

Menurutnya, filem elemen zombi mempunyai peminatnya yang tersendiri dan sebenarnya sangat boleh diterima oleh penonton jika ia digarap dengan baik.

“Bagi saya naskah berkaitan zombi ini dekat dengan orang kita. Iyalah, sebelum ini kita pernah disajikan dengan filem Zombi Kampung Pisang dan ia begitu popular kerana ada suntikan humor atau komedi.

“Tetapi kalau nak cakap pasal filem zombi yang serius, belum ada lagi saya rasa daripada pengkarya tanah air kita.

“Penceritaan zombi pula bukan semata-mata zombi. Biasanya ada elemen lain yang kita boleh tengok contohnya kekeluargaan, persahabatan dan kemanusiaan. Ia sebenarnya bukan boleh dikaitkan dengan orang kita sahaja, satu dunia pun boleh menerimanya,”katanya.

Sam berkata demikian semasa ditemui dalam sidang media secara virtual hari ini bagi mempromosikan filem Zombitopia yang akan bersiaran di saluran penstriman Disney + Hotstar bermula 2 Julai ini.

Selain itu, menurut Sam, dia juga percaya keadaan semasa dan pendemik yang berlaku di seluruh dunia sekarang juga boleh membuatkan penonton berasa dekat dengan naskah lakonannya ini walaupun ia adalah sebuah filem fantasi

“Sekarang ini pun ramai yang rasa takut nak keluar, sebab Covid-19, pandemik dan sebagainya. Orang takut tambahan lagi virus itu kita tak nampak.

“Tapi ia lebih menakutkan berbanding zombi yang kita jelas nampak. Anggap sajalah zombi itu umpama virus, yang sentiasa mengejar dan membuatkan kita rasa takut.

“Macam mana nak pastikan yang kita tetap terus selamat dan berjaya atasi situasi itu, mungkin ini gambarannya jika kita nak kaitkan dengan situasi semasalah,”katanya.

Dalam pada itu, Sam juga melahirkan rasa teruja untuk menerima respons orang ramai terhadap filem tersebut yang telah menjalani penggambaran sejak tahun 2016.

Filem Zombitopia arahan Woo Ming Jin merupakan filem aksi yang membawa penonton merasai pengalaman sekiranya dunia ini dipenuhi dengan zombi.

Ceritanya bermula pada 15 tahun yang lalu apabila sebuah virus telah menjangkiti manusia sehingga menukarkan mereka menjadi makhluk ganas.

Namun, selepas bertahun-tahun virus itu reda. Muncul pula gelombang kedua yang lebih membikin huru-hara.

Turut terlibat menjayakan filem aksi fiksyen ini ialah Elvina Mohamad, Azman Hassan, Bront Palarae dan Sharifah Amani.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya