Bapa lima anak didakwa rogol anak kandung, mangsa dijadikan hamba seks - Utusan Malaysia

Bapa lima anak didakwa rogol anak kandung, mangsa dijadikan hamba seks

TERTUDUH yang didakwa merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap anak sulungnya dibenar diikat jamin sebanyak RM14,000. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang bapa anak lima didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap anak sulung perempuannya, bulan lalu.

Tertuduh berusia 39 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan terhadap anak kandung perempuannya berusia 18 tahun dua bulan.

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 1 pagi di sebuah rumah di Bemban, Jasin pada 23 Mei lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didakwa telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama, pada waktu, tempat serta tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377 B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Difahamkan, mangsa telah dijadikan hamba seks oleh tertuduh sejak dia berusia tujuh tahun, namun hanya tampil membuat laporan polis pada bulan lalu.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Nabilalif Mohd. Rosli tidak menawarkan sebarang jaminan dengan mengambil kira faktor keselamatan mangsa yang merupakan anak kandung tertuduh.

Beliau bagaimanapun mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tidak bekerja dan hanya bergantung kepada isterinya yang mencari rezeki sebagai tukang bersih surau, selain bantuan agensi kerajaan diterimanya.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM14,000 berserta syarat tambahan tidak boleh berkomunikasi atau mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Nariman turut menetapkan tarikh 26 Julai depan sebagai sebutan semula dan serahan dokumen kes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.