Bantuan tambahan untuk penduduk Perak - Utusan Malaysia

Bantuan tambahan untuk penduduk Perak

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri akan mengumumkan peruntukan tambahan untuk lapan daerah di negeri ini susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh sosial dan ekonomi yang bermula hari ini hingga 14 Jun.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas mengadakan mesyuarat secara dalam talian dengan semua pegawai daerah di 12 daerah dalam negeri ini, hari ini.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan negeri telah menyalurkan RM1.2 juta kepada empat buah daerah ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan Kinta, Larut Matang dan Selama, Mualim serta Hulu Perak.

“Esok saya akan umumkan peruntukan tambahan kepada lapan lagi daerah susulan pelaksanaan total lockdown,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.

Saarani berkata, pihaknya juga menekankan kepentingan menyalurkan peruntukan tambahan tersebut dengan cepat kepada sasaran yang tepat bagi rakyat negeri ini.

Menurutnya, bantuan tidak semestinya bersandarkan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal semata-mata kerana tumpuan juga mesti diberikan kepada golongan yang hidupnya bergantung kepada pendapatan harian.

“Peniaga-peniaga kecil yang mencari rezeki di tepi-tepi jalan, peniaga pasar malam dan mereka yang hilang pendapatan ekoran total lockdown ini juga mesti dibantu dan apa yang penting jangan ada rakyat kita yang menangis kebuluran,” katanya.

Saarani menggesa agar penyelarasan saluran bantuan dibuat dengan sebaiknya melalui pejabat daerah, penghulu, ketua kampung serta pemimpin setempat.

“Jika ada terdengar rakan-rakan atau jiran-jiran yang memerlukan, berhubunglah kepada mereka untuk kita sama-sama ambil tindakan sewajarnya.

“Jangan ada diskriminasi, pilih kasih sampai wujud pertindihan sehingga ada keluarga yang terima bantuan berkali-kali tetapi pada masa sama, ada keluarga yang tercicir tidak terima bantuan langsung,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN