Anak buah ‘sanggah’ Pemangku Ketua UMNO Jeli - Utusan Malaysia

Anak buah ‘sanggah’ Pemangku Ketua UMNO Jeli

ABDUL AZIZ DERASHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI: Saranan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Jeli, Datuk Abdul Aziz Derashid supaya kuasa Presiden parti dihadkan dalam menentukan calon pilihan raya umum akan datang merupakan pandangan peribadi beliau semata-mata.

UMNO Bahagian Jeli menerusi satu kenyataan memberitahu, cadangan dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah itu tidak pernah dibawa ke dalam mana-mana mesyuarat jawatankuasa.

Katanya, UMNO Bahagian Jeli sebaliknya kekal dengan pendirian sebagaimana memorandum kepada Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bertarikh 23 Disember 2020 yang ditandatangani ahli Biro Politik iaitu akur kepada sebarang keputusan Presiden.

“Ini sebagai menghormati keputusan organisasi dan (UMNO Jeli) tidak berhasrat untuk menarik balik atau membatalkan kandungan memorandum tersebut.

“UMNO Jeli terus mendukung institusi kepresidenan dan kepimpinan Presiden parti yang dipilih secara demokrasi,” katanya dalam kenyataan tersebut di sini hari ini.

Kenyataan tersebut ditandatangani lapan pemimpin bahagian itu antaranya, Naib Ketua Bahagian, Mohd. Bakri Daud; Ketua Wanita Bahagian, Norwahida Patuan; Ketua Pemuda Bahagian, Khairul Ikhwaniza Mohd. Zahari dan Ketua Puteri Bahagian, Raja Nurhamiza Raja Ali.

Turut menandatangani kenyataan itu, ADUN Bukit Bunga, Datuk Adhan Kechik; Setiausaha Bahagian, Mohd. Zahari Che Mahmood; Bendahari Bahagian, Nasrul Hadi Kamaruzaman dan Ketua Penerangan Bahagian, Mat Nudin Ahmad.

Ahad lalu, portal berita melaporkan saranan Abdul Aziz supaya satu mekanisme baharu perlu dilaksanakan UMNO supaya tidak memberi kuasa 100 peratus kepada Ahmad Zahid untuk menentukan calon pilihan raya umum akan datang.

Menurut Abdul Aziz, keputusan Presiden parti perlu dibuat berdasarkan cadangan peringkat jawatankuasa bahagian dan cawangan yang mengemukakan calon untuk bertanding di kawasan masing-masing kerana mereka lebih mengenali individu yang layak dilantik menjadi calon.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN