WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) bakal mengadakan perbicaraan segera pada bulan November ini bagi menentukan sama ada Presiden Donald Trump mempunyai kuasa untuk mengenakan tarif besar-besaran terhadap barangan import tanpa kelulusan Kongres.
Langkah pantas ini dianggap luar biasa, memandangkan Mahkamah Agung lazimnya mengambil masa berbulan-bulan untuk menetapkan pendengaran.
Tarif tersebut yang dikenakan hampir terhadap semua negara mencetuskan krisis dalam kalangan perniagaan kecil dan negeri-negeri yang membawa kes ini ke mahkamah.
Mereka mendakwa Trump menyalahgunakan kuasa kecemasan di bawah Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa (IEEPA) 1977 untuk menetapkan cukai import secara unilateral, hampir menyebabkan perniagaan mereka bankrap.
Dua mahkamah rendah sebelum ini memutuskan sebahagian besar tarif tersebut dikenakan secara tidak sah. Namun, keputusan majoriti 7-4 oleh Mahkamah Rayuan membenarkan tarif itu dikekalkan buat sementara waktu.
Mahkamah Agung turut bersetuju mendengar satu lagi cabaran terhadap tarif tersebut, kali ini dikemukakan oleh syarikat permainan kanak-kanak milik keluarga, Learning Resources.
Trump yang kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu menjadikan tarif sebagai alat dasar luar utama untuk memaksa rundingan semula perjanjian perdagangan, mendapatkan konsesi politik, dan memberi tekanan kepada negara-negara pesaing.
Setakat akhir Ogos, hasil kutipan tarif mencecah AS$159 bilion (RM670 bilion) iaitu lebih dua kali ganda daripada tempoh yang sama tahun lalu.
Trump menegaskan dalam permohonannya kepada Mahkamah Agung, negara berada di ambang bencana ekonomi sekiranya kuasa presiden mengenakan tarif disekat.
Pentadbiran beliau berhujah undang-undang sedia ada memberinya hak untuk bertindak dalam situasi darurat, termasuk mengawal import demi keselamatan negara.
Perlembagaan AS memperuntukkan kuasa mengenakan cukai dan tarif kepada Kongres. Namun, dalam beberapa dekad kebelakangan ini, Kongres memindahkan sebahagian kuasa ini kepada presiden.
Isu utama yang bakal diputuskan Mahkamah Agung ialah sama ada kuasa presiden seperti yang diperuntukkan dalam IEEPA mencukupi untuk mengenakan tarif besar tanpa mandat jelas dari Kongres.
Tiga daripada sembilan hakim Mahkamah Agung semasa adalah lantikan Trump, yang menjadikan kemungkinan keputusan berpihak kepada beliau tidak mustahil, terutamanya dengan dominasi konservatif di mahkamah itu.










