HULU TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Berua di sini bersedia menjadi individu pertama yang menerima vaksin Covid-19 dalam kalangan komuniti Orang Asli di perkampungan itu.
Alias Pelong, 56, berkata, langkah itu bagi memberi keyakinan kepada kira-kira 540 penduduk membabitkan 133 keluarga yang masih lagi takut untuk menerima suntikan tersebut berikutan pelbagai cerita negatif yang disebarkan.
“Ramai yang terpedaya dakwaan vaksin Covid-19 boleh membawa maut selain kesan sampingan kepada kesihatan, bagaimanapun saya tetap berusaha menasihatkan mereka tentang kepentingan vaksinasi.
“Ada juga yang hendak tengok proses suntikan itu dan lihat kesannya bagaimana, jadi saya sanggup jadi orang pertama dalam kalangan komuniti Orang Asli Sungai Berua ini untuk menerima vaksin Covid-19 apabila tiba masanya nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Alias berkata, penduduk di perkampungan Orang Asli tersebut perlu menyatakan persetujuan untuk menerima suntikan vaksin bagi melindungi diri daripada virus Covid-19 terutama kerana kawasan kampung tersebut sering didatangi orang luar.
Sementara itu, seorang penduduk, Ibrahim Awang, 75, berkata, walaupun takut dengan kesan vaksin, namun dia tidak akan menolak jika sudah tiba masanya penduduk di perkampungan tersebut menerima suntikan.
“Kami di sini jarang bergaul dengan masyarakat luar dan kebanyakannya bekerja di kawasan hutan tetapi perlu juga suntikan vaksin kerana ramai orang luar datang ke sini,” katanya. – UTUSAN










