PETALING JAYA : Bukan sahaja ahli politik malah terdapat juga golongan selebriti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kebelakangan ini hingga mereka ditahan atau dikompaun oleh pihak berkuasa.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Shabudin Yahya berkata, ada terdapat di dalam kalangan mereka ditahan ketika berparti atau berkumpul beramai-ramai, tidak memakai pelitup muka dan tidak mengimbas MySejahtera.
Katanya lebih mengecewakan apabila yang didapati menipu pihak penguat kuasa dengan memalsukan surat rentas daerah atau negeri semata-mata pulang ke kampung ketika cuti Hari Raya dan ia termasuk di dalam kalangan rakyat dan juga golongan berpangkat.
“Ini tidak sepatutnya berlaku terutamanya umat Islam apabila agama mengajar kita untuk jujur dan amanah bukan sahaja di dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab, tetapi juga di dalam kehidupan harian. Allah juga memerintahkan kita saling menjaga kebajikan, kesihatan dan kesejahteraan umat dengan penuh tanggungjawab.
“Kita semua perlu bantu-membantu menjaga nyawa dan keselamatan daripada wabak Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini. Setiap seorang kita mesti mematuhi SOP dan arahan jika kita tidak bertanggungjawab, padahnya adalah semua. Tanggungjawab ini terletak di bahu tidak kita berpangkat tinggi atau rakyat biasa.
“SOP dibuat bukan untuk menyusahkan, tetapi memudahkan kita untuk kembali kepada hidup normal. Kita semua kena sedar, bahawa negara luar berjaya menyekat penularan wabak bukan hanya kerana kerajaan melakukan penguatkuasaan semata-mata, tetapi pemimpin dan rakyat mereka memainkan peranan mematuhi SOP, bertanggungjawab, jujur dan tidak menipu SOP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shabudin yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kerajaan kini sedang berusaha meningkatkan suntikan vaksinasi kepada rakyat dengan membawa masuk lebih banyak bekalan vaksin dan membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.
Katanya, ia sejajar matlamat kerajaan adalah bagi mencapai imunisasi 80 peratus rakyat sebelum akhir tahun dan ia mungkin dicapai lebih awal dari jangkaan jika melihatkan jumlah suntikan terkini.
“Namun usaha ini perlu disambut dengan mendaftar untuk divaksinasi dan disokong juga dengan pematuhan kepada SOP yang ditetapkan bagi menurunkan kadar jangkitan di dalam komuniti kita. Janganlah kita tunggu sehingga saudara, ahli keluarga kita hilang nyawa baru kita mengambil serius perkara ini.
“Kita semua tak kira siapa, dengarlah kata, ikut arahan, patuhi SOP dan duduklah di rumah jika tiada keperluan untuk keluar. Hanya dengan usaha bersama dan tanggungjawab bersama, kita boleh menang bersama,” katanya. – UTUSAN ONLINE










