PUTRAJAYA: Sebanyak lapan premis di seluruh negara diarah tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP) hasil pemeriksaan pasukan Task Force Operasi Pematuhan ke atas 2,047 kilang dan 11,899 premis perniagaan, semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara kumulatif, pasukan berkenaan sudah melaksanakan sejumlah 88,238 pemeriksaan dengan kekuatan sebanyak 20,114 anggota.
Pihak kerajaan jelasnya, akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh kerana banyak pelanggaran SOP dilakukan pemilik kilang dan premis perniagaan sekali gus menjadi antara punca banyak kluster baharu melibatkan tempat kerja dilaporkan dan menyebabkan peningkatan penularan kes Covid-19 setiap hari.
Beliau turut mengingatkan setiap fasa dalam Pelan Pemulihan Negara tidak tertakluk kepada tarikh semata-mata tetapi bergantung tiga indikator nilai ambang ditetapkan kerajaan melibatkan purata kes harian Covid-19, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi dan kadar imunisasi bagi populasi yang telah selesai menerima dua dos vaksin.
“Sekiranya tiga indikator itu berjaya dipenuhi, maka negara akan beralih ke fasa seterusnya dengan lagi cepat dicapai, maka semakin pantas dapat beralih ke fasa berikut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Ismail Sabri mengharapkan kerjasama semua pihak agar mematuhi SOP dan mengamalkan kawalan kendiri bagi segera memutuskan rantaian jangkitan pandemik itu.
Beliau juga mengesahkan, tiada kes pekerja asing yang disahkan positif Covid-19 di seluruh negara semalam setelah melalui ujian saringan wajib kelolaan Kementerian Sumber Manusia.
Pihak kementerian itu jelasnya, memaklumkan 29 orang pekerja warga asing sudah menjalani proses tersebut selaras dengan arahan berkuat kuasa 1 Februari lepas.










