PUTRAJAYA: Tiada isu membabitkan pengeluaran vaksin oleh syarikat Pharmaniaga seperti yang didakwa, sebaliknya kerajaan yakin bekalan vaksin daripada syarikat berkenaan berjalan lancar seperti dijadualkan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya yakin Pharmaniaga dapat memenuhi kontrak pembekalan dan penghantaran seperti ditetapkan kerajaan.
Beliau berkata, Pharmaniaga juga difahamkan akan membawa masuk bekalan vaksin Sinovac dari China bagi membantu melancarkan PICK.
“Kami dimaklumkan, Pharmaniaga mampu membekalkan 500,000 dos vaksin Sinovac seminggu,” katanya dalam sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), secara dalam talian hari ini.
Beliau berkata demikian susulan dakwaan kononnya vaksin yang diproses Pharmaniaga tidak memenuhi kualiti dan setanding dengan Sinovac yang dibekalkan terus dari China.
Khairy berkata, beliau ingin menjelaskan bahawa vaksin yang diproses Pharmaniaga di kilangnya di Puchong, Selangor menepati kualiti yang sama seperti bekalan yang diterima dari China.
Menurutnya, beliau sekali lagi menafikan dakwaan bahawa kualiti vaksin diproses Pharmaniaga tidak sama dengan vaksin yang diperoleh dari China.
“Tuduhan ini langsung tidak bertanggungjawab dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu yang menyebarkan berita tidak benar ini,” katanya.
Mengulas kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa vaksin diproses Pharmaniaga adalah satu-satunya vaksin yang halal di dunia, Khairy Jamaluddin berkata, ia tidak bermaksud vaksin yang lain itu haram.
“Saya difahamkan, vaksin jenis Sinovac yang diproses dan dibotolkan Pharmaniaga mendapat sijil halal oleh Majlis Ulama Indonesia.
“Bagaimanapun, ini tidak bermaksud vaksin lain mengandungi apa-apa ramuan yang menyebabkan vaksin itu haram.
“Kita telah buat semakan terhadap vaksin Pfizer dan AstraZeneca dan mendapati tiada apa-apa ramuan yang datang daripada khinzir (babi) sebagaimana yang didakwa,” katanya.
Ditanya apakah perancangan kerajaan susulan impak varian baharu Covid-19 yang menular dalam negara ketika ini, Khairy berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat klinikal pada Khamis ini.
“Kita sedia maklum mengenai tahap efektif agihan dua dos vaksin Pfizer dan AstraZeneca terhadap varian baharu Covid-19 itu.
“Malah, Sinovac juga difahamkan akan mengeluarkan data klinikal terhadap impak varian baharu itu bulan depan,” katanya.
Katanya, kerajaan pada ketika ini kekal dengan pendirian untuk memastikan lebih ramai rakyat menerima suntikan dos pertama vaksin secepat mungkin. – UTUSAN ONLINE









