KUALA LUMPUR: Skandal penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh menyebabkan sebarang skandal kewangan yang pernah wujud sebelum ini tidak ubah seperti `ikan bilis’.
Dalam penghakiman penuh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) setebal 809 muka surat itu, beliau menggambarkan bahawa kesalahan yang dilakukan bekas Ahli Parlimen Pekan itu boleh membuatkan pentakluk yang digeruni, Attila the Hun macam budak sekolah.
“Skandal kewangan yang membawa kepada tertuduh (Najib) didakwa di mahkamah, digambarkan dalam media dalam dan luar negara sebagai satu episod kleptokrasi terbesar dunia. Penyelewengan terbesar itu, membuatkan Atilla the Hun nampak seperti budak koir sekolah,” kata Hakim Sequerah.
Atilla the Hun adalah seorang pemimpin Empayar Hun yang digeruni pada abad kelima yang terkenal kerana tenteranya membawa kemusnahan besar di seluruh Eropah. Namanya kemudiannya menjadi simbol kepada penaklukan, kehancuran, dan penjarahan berskala besar dalam sejarah.
Penghakiman penuh itu diterbitkan hampir enam bulan Najib dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM11,387,888,067.05 atas kesemua 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion.
Pada 26 Disember 2025, Hakim Sequerah turut memerintahkan agar hukuman penjara itu boleh ditambah lagi 40 tahun sekiranya Najib gagal membayar jumlah denda itu.
Hukuman penjara itu juga diperintahkan untuk berjalan secara berasing daripada hukuman penjara yang sedang dijalani oleh bekas Presiden Umno itu bagi kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Di awal penghakimannya, Hakim Sequerah mengimbas kembali kes penyelewengan dana yang penuh liku dan berlangsung selama enam tahun.
Ujarnya, Najib dituduh buat kali pertama pada 20 September 2018 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2018.
“Namun begitu, perbicaraan tidak diteruskan pada ketika itu disebabkan beberapa faktor antaranya ialah pendakwaan terhadap tertuduh dalam perbicaraan penyelewengan dana SRC International. Selepas tempoh yang dirasakan seperti tidak berkesudahan, perbicaraan akhirnya bermula pada 19 Ogos 2019.
“Selepas perbicaraan berjalan seketika dan harapan mula kelihatan cerah, negara dan bahkan seluruh dunia telah dilanda pandemik Covid-19 dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini yang menyebabkan mahkamah terpaksa menangguhkan perbicaraan mulai 19 Mac 2020.
“Perbicaraan akhirnya disambung semulan namun apa yang berlaku selepas itu, menjadikan pengalaman terdahulu kelihatan kecil. Perbicaraan ini mengambil masa kira-kira 6 tahun untuk diselesaikan. Ia berkemungkinan besar telah mengatasi tempoh mana-mana perbicaraan lain dalam sejarah mahkamah Malaysia, satu rekod yang tidak diingini,”kata hakim itu. – UTUSAN










