MELAKA: Pemilik premis sibuk buat hal sendiri dan tidak tegas terhadap pelanggan menjadi punca sikap sambil lewa masyarakat dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kedai runcit sekitar bandar Melaka mendapati, lebih separuh daripada pelanggan yang masuk ke kedai gagal berbuat demikian meskipun kod QR MySejahtera, buku kehadiran, pengimbas suhu dan cecair pembasmi kuman disediakan di pintu masuk.
Menurut seorang pemilik kedai yang enggan dikenali berkata, setakat ini tiada pemeriksaan pihak berwajib dijalankan di premisnya menyebabkan dia tidak serius memastikan pelanggan patuh SOP.
“Tiada apa hendak dirisaukan kerana tiada penguat kuasa yang datang ke kedai setakat ini,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja kedai yang enggan dikenali hanya melihat pelanggan masuk ke kedai tanpa meminta mereka merekod butiran diri dan memeriksa suhu.
Pada masa sama, sebuah restoran bersebelahan juga gagal merekodkan kehadiran pelanggan untuk pesanan bawa pulang.
Bagaimanapun, situasi berbeza di pusat membeli-belah dan pasar raya besar kerana kemasukan pengunjung lebih sistematik dan tegas dalam pematuhan SOP.
Suasana kelihatan lengang, tidak bersesak dan tiada kelibat kanak-kanak dibawa ke pusat beli-belah pada hari pertama pelaksanaan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diperketatkan.
Kawalan pintu masuk utama ditambah baik dan pengunjung diminta mengemas kini profil aplikasi MySejahtera setiap hari bagi mengetahui status terkini risiko Covid-19.
Susulan orang ramai diberi had maksimum dua jam untuk membeli belah, pihak pengurusan mengambil inisiatif menggunakan pelekat hijau yang ditulis waktu daftar masuk sebagai rujukan. – UTUSAN ONLINE










