Setiausaha Akhbar MB Negeri Sembilan mohon maaf

Setiausaha Akhbar MB Negeri Sembilan mohon maaf

AHMAD SHAHIR MOHD. SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd. Shah tampil memohon maaf atas kata-katanya yang mengaitkan nama gelaran dalam institusi undang luak pada satu majlis anjuran Pakatan Harapan (PH) di sini Jumaat lalu.

Katanya, perbuatan itu dibuat secara seloroh tanpa niat untuk mempersendakan sesiapa atau institusi adat yang beliau sendiri junjung tinggi sejak sekian lama.

“Saya mulakan dengan permohonan maaf kepada ke bawah kaus Yang Teramat Mulia Dato’ Undang Yang Empat atas tindakan saya yang berseloroh dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dengan memetik gelaran yang diberikan dalam media sosial kepada beliau sebagai `Tok Undang’.

“Atas kekhilafan tersebut, saya menginsafi dan berharap agar isu ini dapat menjernihkan kekeruhan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini..

Permohonan maaf itu dibuat oleh Ahmad Shahir selepas tular video ucapan beliau pada Majlis Pelancaran Jentera PH Negeri Sembilan, Jumaat lalu.

Beliau yang menjadi juruacara majlis pada hari tersebut menyebut Siew Fook sebagai `Tok Undang ke-5″ ketika menjemput pemimpin DAP itu untuk menyampaikan ucapan.

Ahmad Shahir berkata, sebagai anak Negeri Sembilan yang menjunjung tinggi adat, budaya dan institusi Undang luak yang menjadi teras identiti negeri ini, beliau memandang serius penggunaan gelaran Dato’ Undang kerana ia melibatkan sensitiviti Adat Perpatih yang sewajarnya dihormati oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

“Saya ingin menegaskan bahawa PH sentiasa menghormati dan mempertahankan kemuliaan institusi Undang luak sebagai warisan berharga yang menjadi identiti serta kebanggaan Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan terhadap tidak kurang daripada 11 individu dan platform yang memainkan naratif gelaran `Tok Undang’ terhadap Siew Fook sejak Sabtu lalu.

Terdahulu UMNO Negeri Sembilan mendesak agar seorang pegawai Menteri Besar Negeri Sembilan memohon maaf selepas tular video pegawai itu menggelarkan Anthony Loke sebagai `Undang Yang Ke-5′

Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Saiful Yazan Sulaiman berkata, perbuatan mengaitkan mana-mana pemimpin politik dengan gelaran Undang walaupun atas alasan gurauan atau sindiran adalah tidak wajar, tidak sensitif dan menunjukkan kegagalan memahami nilai serta kedudukan institusi adat di negeri ini.

Lebih mengecewakan, katanya, apabila perbuatan itu dilakukan individu yang berada dalam lingkungan pentadbiran kerajaan negeri yang sepatutnya menjadi contoh dalam menghormati adat dan institusi negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN