Briged Tengah PGA tumpaskan sindiket penyeludupan PATI di Sabak Bernam

Briged Tengah PGA tumpaskan sindiket penyeludupan PATI di Sabak Bernam

HAKEMAL HAWARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan petugas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) apabila menahan 35 individu dalam satu serbuan di Sabak Bernam, Selangor pada 10 Jun lalu.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner, Hakemal Hawari berkata, operasi serbuan itu dijalankan pada pukul 5 pagi di kawasan Jalan Masjid berhampiran tiang elektrik JK1, Kampung Parit Baroh, Kampung Sungai Air Tawar.

Katanya, pihak polis berjaya menahan tujuh lelaki tempatan yang dipercayai bertindak aktif sebagai tekong darat serta penghantar.

“28 warganegara Indonesia membabitkan 24 lelaki serta empat wanita dewasa didapati langsung tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya semasa sidang akhbar di Markas Briged Tengah PGA, Cheras, di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua individu yang berjaya ditahan di lokasi kejadian itu dianggarkan berusia dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun.

“Pihak berkuasa mengambil tindakan menyita tujuh buah kenderaan pelbagai jenis iaitu enam buah kereta dan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan untuk melancarkan aktiviti jenayah berkenaan.

“Sebanyak tujuh unit telefon bimbit turut dirampas dan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM360,000,” katanya.

Katanya, kesemua suspek tersebut kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kadar bayaran yang dikenakan oleh sindiket bagi menyeludup masuk setiap migran ke negara ini adalah sekitar RM1,500 hingga RM2,500 bagi seorang individu.

“Terdapat juga kejayaan bagi Task Force Delta bermula 1 Januari hingga 15 Jun tahun ini yang menunjukkan sebanyak 11 serbuan telah berjaya dilaksanakan membabitkan 22 kes secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata, seramai 247 individu telah berjaya ditahan termasuk 32 orang suspek yang bertindak sebagai tekong darat, tekong laut, serta penghantar.

“Jumlah pecahan PATI yang berjaya ditahan sepanjang tempoh tersebut pula melibatkan 160 lelaki dewasa, 54 wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki dengan jumlah nilai keseluruhan rampasan aset mencecah RM1.5 juta.

“Sebanyak 187 serbuan telah berjaya direkodkan setakat ini bagi statistik keseluruhan membabitkan implikasi operasi Briged Tengah PGA di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN