Sistem pendaftaran terganggu kerana kesesakan luar jangkaan - Utusan Malaysia

Sistem pendaftaran terganggu kerana kesesakan luar jangkaan

ORANG awam kecewa selepas melihat laman sesawang pendaftaran tempahan vaksin AstraZeneca ditutup, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sistem pendaftaran vaksin sudah diuji dan berfungsi dengan baik, namun gangguan teknikal yang berlaku semasa slot kedua tempahan AstraZeneca semalam berpunca sambutan yang sangat luar biasa.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pendaftaran yang di luar jangkaan dengan lebih sejuta rakyat Malaysia melayari laman web www.vaksincovid.gov.my menyebabkan sistem yang telah diuji tanpa masalah itu sesak dan terganggu.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan menambah baik segala aspek bagi meningkatkan kelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sekali gus mencapai sasaran imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini.

“Kerajaan menerima segala teguran dan saranan tentang pelbagai aspek kelancaran program dan sentiasa bersedia menilai kembali ekoran sambutan terhadap vaksin AstraZeneca ini.

“Banyak modul MySejahtera masih perlu secara berterusan diubah suai dengan segala realiti di lapangan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.

Keterujaan jutaan rakyat Malaysia mendapatkan suntikan AstraZeneca bertukar hampa apabila slot pusingan kedua tempahan vaksin itu habis dalam tempoh lebih satu jam selepas pendaftaran dibuka pada pukul 12 tengah hari.

Tidak kurang juga terdapat ramai mengeluh selepas menembusi laman web, slot vaksin sudah penuh walaupun dicanangkan sebelum ini ditawarkan kira-kira 1.26 juta dos vaksin.

Dalam pada itu, Ahmad Amzad berkata, sebagaimana vaksin lain, Astrazeneca turut diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dalam usaha membendung penularan Covid-19.
Katanya, ramai golongan muda secara sukarela bersetuju mengambil vaksin berkenaan selepas kerajaan memutuskan pemberian Astrazeneca kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

“Untuk tawaran kali kedua apabila bekalan baharu Astrazeneca diterima, kerajaan mahu supaya warga emas tetap diberi keutamaan, kerana itu pada tiga hari pertama ia dibuka kepada golongan berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN