PUTRAJAYA: Peruntukan RM70 juta bagi pembangunan sistem teknologi dalam talian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bukan hanya semata-mata bagi tujuan pembinaan laman web.
Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, jumlah peruntukan itu meliputi pengurusan dan pencapaian PICK, pembangunan dashboard pelaporan harian PICK, integrasi sistem bagi menghubungkan pangkalan data MySejahtera dan sistem sedia ada Kementerian Kesihatan.
Beliau menjelaskan, ini termasuk pembangunan laman portal pendaftaran vaksin, sistem pengesanan dan pendaftaran vaksinasi serta pembangunan perkhidmatan google map dalam MySejahtera.
“Selain itu ia turut melibatkan pembangunan sistem genomik survelan dan sistem survelan imunisasi, perolehan sistem pengurusan queue mobile untuk Pusat Pemberian Vaksin (PPV), integrasi sistem pasport digital dalam MySejahtera, sistem pengurusan logistik dan rangkaian penghantaran vaksin.
“Jumlah ini juga termasuk pengendalian pusat pengendalian call center, sistem MyVac bagi pengurusan mobilisasi sukarelawan dalam pelaksanaan PICK, penghantaran sistem khidmat ringkas (SMS) dan panggilan telefon bagi peringatan vaksinasi sebelum tarikh janji temu.
“Jadi RM70 juta bukan untuk laman web sahaja tetapi meliputi semua yang disenaraikan dalam kenyataan ini. Itu pun adalah kos siling, tidak semestinya peruntukan sebenar yang akan dibelanjakan kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang menuntut jawapan daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berhubung persoalan yang dibangkitkan rakyat berkaitan laman sesawang pendaftaran vaksin Covid-19 dan mempertikaikan kos RM70 juta untuk membangunkan sistem laman sesawang yang dianggap bermasalah itu.
Sementara itu, Khairy memaklumkan bahawa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba telah menandatangani perjanjian dengan syarikat Pfizer pada 21 Mei lalu untuk penambahan sebanyak 12.8 juta dos.
“Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan dos meningkat kepada 44.8 juta dan ini bermakna negara akan menerima penghantaran 25,682,670 dos vaksin Pfizer pada suku ketiga tahun ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sejumlah 2,223,000 dos vaksin Pfizer akan diterima pada bulan Jun depan dengan 444,600 dos akan dihantar setiap minggu bagi tempoh lima minggu.
“Ini bermakna, keseluruhan vaksin Pfizer yang telah dan akan diterima sehingga akhir Jun ialah 4,974,840,” katanya.
Bagi vaksin Sinovac pula, Khairy berkata, kesemua tempahan melibatkan 12 juta dos akan dihantar sepenuhnya pada Jun dan Julai depan.
Katanya, ia merangkumi 5,089,800 produk fill and finish daripada kilang Pharmaniaga di Malaysia serta 6,910,200 dos produk siap di kilang daripada kilang Sinovac di Beijing, China.
“Bagi vaksin AstraZeneca pula, kita dijangka menerima 610,000 dos pada bulan Jun dan 410,000 dos pada bulan Julai yang mana ia masih tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah,” ujarnya.
Tambah beliau dengan penghantaran kesemua vaksin terbabit, pihaknya menjangkakan dapat memberi 150,000 suntikan sehari pada bulan Jun nanti dengan melibatkan lebih banyak pusat pemberian vaksin di seluruh negara. – UTUSAN










