Diplomasi agama redakan konflik di peringkat global

Diplomasi agama redakan konflik di peringkat global

DIPLOMASI agama semakin penting sebagai medium membina persefahaman, meredakan konflik dan memperkukuh keamanan dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM landskap geopolitik global yang semakin kompleks dan rapuh, dunia hari ini sedang berdepan pelbagai krisis yang bukan sahaja bersifat politik dan ekonomi, malah turut menyentuh inti pati kemanusiaan sejagat.

Konflik bersenjata yang berpanjangan, ketidakseimbangan kuasa antarabangsa, kemerosotan keberkesanan sistem pelbagai hala serta kecenderungan menjadikan agama sebagai alat legitimasi konflik mewujudkan suasana global yang semakin terpecah dan tidak menentu.

Dalam konteks inilah, Sidang Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama Ketiga yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 12 Jun lalu muncul sebagai platform yang membawa makna strategik terhadap usaha merawat keretakan hubungan kemanusiaan di peringkat global.

Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang tersebut memperlihatkan satu gagasan penting bahawa diplomasi agama menjadi instrumen moral yang semakin mendesak dalam tadbir urus dunia moden.

Ucapan tersebut mengangkat realiti yang semakin sukar dinafikan iaitu berlakunya kemerosotan piawaian moral dan etika dalam sistem antarabangsa.

Dunia hari ini menyaksikan bagaimana pendekatan pelbagai hala yang suatu ketika dahulu menjadi asas kestabilan global, semakin digantikan dengan tindakan unilateral berasaskan kepentingan kuasa besar.

Lebih membimbangkan, konflik bersenjata yang berlarutan bukan sahaja gagal menemukan penyelesaian tuntas, malah turut memperlihatkan peningkatan penderitaan terhadap golongan tidak bersalah, khususnya wanita dan kanak-kanak.

Dalam era digital, penderitaan ini dipaparkan secara terbuka sehingga mewujudkan fenomena yang boleh disifatkan sebagai ‘penormalan keganasan’.

Apabila masyarakat dunia semakin terbiasa dengan imej penderitaan, berlaku satu bentuk penyahinsanan secara beransur-ansur, iaitu hilangnya kepekaan terhadap nilai kemanusiaan.

Jika keadaan ini tidak dibendung, dunia berisiko kehilangan kompas moral yang selama ini menjadi asas kepada ketamadunan manusia.

Dalam keadaan inilah, diplomasi agama diketengahkan sebagai pendekatan yang semakin relevan. Ia bukan sekadar melibatkan hubungan antara institusi keagamaan tetapi merangkumi usaha membina persefahaman, meredakan ketegangan serta mewujudkan ruang dialog antara tamadun dan kepercayaan yang berbeza.

Agama, dalam konteks ini berpotensi sebagai ‘kuasa lembut moral’ yang mampu merentasi sempadan politik dan ideologi. Pemimpin agama bukan sahaja berperanan sebagai penjaga nilai spiritual tetapi juga sebagai jambatan komunikasi antara komuniti yang berbeza latar belakang.

Ucapan Anwar turut mengandungi peringatan penting. Sejarah menunjukkan agama tidak terlepas daripada risiko penyalahgunaan. Dalam beberapa peristiwa global, agama pernah dimanipulasi untuk mengabsahkan keganasan, memperkukuh kebencian dan menjustifikasikan ketidakadilan.

Justeru, cabaran utama pemimpin agama masa kini ialah mengembalikan agama kepada fungsi asalnya iaitu sebagai sumber keamanan, rahmah dan keadilan sejagat.

Malaysia dalam ucapan tersebut diketengahkan sebagai sebuah negara majmuk yang berjaya mengurus kepelbagaian secara relatif harmoni. Dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, negara pada masa sama menjamin kebebasan penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing secara aman.

Pendekatan ini berasaskan prinsip keseimbangan antara hak dan tanggungjawab, keadilan sosial serta budaya saling menghormati.

Dalam kerangka ini, perpaduan ditafsirkan sebagai keupayaan mengurus perbezaan secara matang dan beradab.

Kejayaan Malaysia menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak ini turut memperlihatkan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap peranan negara sebagai platform dialog antara agama dan tamadun. Ia juga mencerminkan kepercayaan pengalaman Malaysia dalam mengurus kepelbagaian boleh dijadikan rujukan dalam konteks global yang semakin berpecah.

Dalam memperkukuh hujah berkaitan pengurusan masyarakat berbilang, Piagam Madinah dirujuk sebagai model sejarah yang signifikan. Dokumen ini memperlihatkan bagaimana masyarakat pelbagai agama serta kaum dapat disatukan melalui satu kerangka kontrak sosial yang berasaskan keadilan, kesaksamaan dan pengiktirafan hak bersama.

Piagam ini menolak pendekatan peminggiran, sebaliknya menekankan tanggungjawab kolektif dalam memastikan kestabilan masyarakat.

Prinsip terkandung kekal relevan dalam konteks moden, khususnya usaha membina negara bangsa yang stabil di tengah-tengah cabaran globalisasi dan polarisasi identiti.

Ucapan tersebut turut menegaskan dialog antara agama perlu berkembang menjadi budaya sosial yang hidup dalam kehidupan harian masyarakat.

Interaksi antara komuniti melalui sambutan perayaan, hubungan kejiranan serta amalan saling memahami merupakan asas penting kepada pembinaan kepercayaan sosial.

Dalam masa sama, dialog formal seperti sidang kemuncak antarabangsa tetap memainkan peranan strategik kerana menyediakan ruang struktural untuk perbincangan dasar dan kerjasama antara pemimpin agama di peringkat global.

PENYALAHGUNAAN AGAMA DALAM POLITIK

Dalam banyak keadaan, agama dijadikan alat untuk mengabsahkan konflik, mengukuhkan naratif kebencian serta memecahbelahkan masyarakat.

Keadaan ini bukan sahaja mencemarkan kesucian agama tetapi turut melemahkan potensinya sebagai sumber penyatuan manusia sejagat. Justeru, pemimpin agama perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam menolak ekstremisme, menangkis naratif kebencian serta memperkukuh tafsiran agama yang berteraskan keamanan dan kesejahteraan manusia.

Secara keseluruhannya, ucapan Perdana Menteri membawa mesej jelas dan mendesak yang mana dunia memerlukan kebangkitan semula nilai kemanusiaan dalam menghadapi era ketidaktentuan global.

Diplomasi agama, dalam konteks ini, bukan sekadar pendekatan alternatif tetapi berpotensi menjadi jambatan penting dalam merapatkan kembali masyarakat dunia yang semakin terpisah oleh konflik, ideologi dan kepentingan kuasa.

Malaysia, berdasarkan pengalaman sebagai negara majmuk, memiliki potensi untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dialog antara peradaban di peringkat antarabangsa.

Namun kejayaan ini bergantung kepada komitmen berterusan semua pihak dalam menegakkan prinsip keadilan, toleransi dan saling menghormati.

Akhirnya, kekuatan sebenar sesebuah tamadun tidak diukur melalui dominasi tetapi melalui keupayaannya untuk membina kehidupan bersama yang aman, adil dan bermaruah. –UTUSAN

PENULIS ialah Penasihat Eksekutif Kanan, Persatuan Persahabatan Malaysia-China.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN