Ladang UCAM rintis tanaman getah skala besar

Ladang UCAM rintis tanaman getah skala besar

Manndzri Nasib turut menanam sendiri pokok getah di Ladang UCAM sebagai simbolik sokongan penuh terhadap projek rintis Program TGBB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperkukuh usaha menggandakan kawasan bertanam getah negara menerusi pelaksanaan projek rintis Program Tanaman Getah Berskala Besar (TGBB) di Ladang Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM).

Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, projek itu merupakan pendekatan strategik agensi dalam menyokong sasaran penghasilan getah negara sebanyak satu juta metrik tan menjelang tahun 2030.

“Pelaksanaan Program TGBB bukan sekadar tertumpu kepada aktiviti penanaman getah, sebaliknya memberi penekanan kepada pengurusan ladang yang efisien, berskala besar dan berorientasikan produktiviti.

“RISDA mahu memastikan kawasan tanaman getah dapat dipertingkat secara sistematik, dan menyumbang kepada pengeluaran getah negara dan mengurangkan kebergantungan kepada import,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Lawatan Kerja Rasmi Pengerusi RISDA ke Projek TGBB Ladang UCAM di Ayer Paabas, Alor Gajah, semalam.

Manndzri Nasib (tiga dari kiri) melihat sendiri kawasan Projek TGBB di Ladang UCAM, Air Paabas, Melaka dalam lawatan rasminya, semalam.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Tanam Semula dan Perladangan RISDA, Faridah Haryati Mohamad Yusof; Pengarah Bahagian Pentadbiran RISDA, Muhamad Mahathir Abdul Rahim dan Pengarah RISDA Melaka, Ahmad Fahmi Abd Shukor.

Projek TGBB Ladang UCAM yang dibangunkan dengan kolaborasi bersama RISDA Plantation Sdn Bhd (RPSB) ini menjadi model awal kepada inisiatif peluasan program di seluruh negara, khususnya melalui kerjasama strategik bersama kerajaan negeri serta pihak lain berkaitan yang mempunyai tanah berpotensi untuk dibangunkan.

Projek ini melibatkan keluasan 35 hektar dan mula dibangunkan pada September 2025, merangkumi lima lot utama di kawasan bertopografi berbukit dengan jumlah tanaman melebihi 16,000 pokok getah.

Menurut Manndzri, pelaksanaan TGBB merupakan antara usaha RISDA memperbaharui pendekatan pembangunan getah negara melalui konsep pengurusan estet bersepadu, bermula peringkat pembangunan sehingga kepada penghasilan.

“Tanah-tanah berpotensi perlu digerakkan sebagai aset produktif negara. Dalam konteks ini, Program TGBB membuka ruang kerjasama luas antara RISDA dengan pihak berkaitan bagi membangunkan kawasan getah yang lebih terancang.

“Matlamat akhir kita adalah untuk memperkukuh bekalan getah negara, meningkatkan hasil, memacu aktiviti hiliran serta memberi limpahan ekonomi kepada warga desa,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan TGBB bakal memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan komuniti setempat melalui peningkatan aktiviti ekonomi, penyediaan peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur desa serta pemerkasaan rantaian nilai industri getah.

Manndzri menambah, kejayaan projek rintis ini amat penting kerana ia akan menjadi asas kepada panduan peluasan program secara menyeluruh di seluruh negara.

“RISDA mahu memastikan Program TGBB benar-benar menjadi pemangkin kepada transformasi industri getah negara. Ini bukan sekadar projek ladang, tetapi sebahagian daripada agenda besar dalam mengembalikan kegemilangan tanaman getah sebagai komoditi strategik negara.

“Dengan sokongan semua pihak, kami yakin pendekatan ini mampu meningkatkan produktiviti getah, memperkukuh sosioekonomi pekebun kecil dan menyumbang kepada kelestarian industri getah negara,” katanya.

Selain melawat tapak TGBB Ladang UCAM, Manndzri dan delegasi turut mengadakan lawatan ke beberapa kilang pemprosesan kayu getah sebagai sebahagian daripada usaha meninjau potensi kolaborasi dalam rantaian industri berasaskan kayu getah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN