Puntung rokok dipercayai punca kereta bawa mercun meletup - Utusan Malaysia

Puntung rokok dipercayai punca kereta bawa mercun meletup

KERETA mangsa terbelah dua dalam kejadian semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Letupan kuat mengorbankan seorang lelaki dan memusnahkan keretanya yang membawa muatan mercun bola di Kampung Sireh, di sini semalam dipercayai akibat puntung rokok dibuang mangsa.

Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, maklumat terkini itu diperoleh daripada beberapa saksi yang melihat mangsa, Wan Hassan Wan Ali, 48, cuba membuang puntung rokok sebelum kereta Proton Iswara Aeroback dipandunya meletup.

“Ketika kejadian, hari hujan dan sebuah kereta di hadapan kereta mangsa berhenti di persimpangan ekoran lampu isyarat merah.

“Ada saksi mendakwa mangsa cuba membuang puntung rokok keluar dari cermin yang dibuka sedikit sebelum keretanya meletup,” katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Terusan, Limbat di sini hari ini.

Menurut Shafien, polis masih menyiasat mengenai mercun bola yang dibawa mangsa dalam kuantiti banyak di dalam keretanya.

“Semakan lanjut turut mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah berkaitan kes penyalahgunaan dadah dan pecah rumah,” katanya.

Selain itu kata beliau, tiga daripada empat mangsa termasuk anggota polis dan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Ujar Shafien, kejadian itu dalam kes terbesar dan pertama kali berlaku di negeri ini sehingga polis Kelantan memerlukan bantuan pasukan Unit Bom, Bukit Aman untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca letupan itu.

“Kita juga meminta orang ramai terutama penduduk sekitar yang terkesan supaya tampil membuat laporan untuk memudahkan polis menilai jumlah kerugian yang dialami,” katanya

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.55 petang semalam, seorang lelaki maut dalam keadaan mengerikan selepas kereta membawa muatan mercun bola dipandunya meletup dan terbelah dua.

Kejadian ngeri itu menyebabkan mangsa, Wan Hassan tercampak kira-kira 20 meter dari keretanya dengan anggota badannya putus di beberapa bahagian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya