Pihak berkuasa agama negeri perlu pergiat program kesedaran vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Pihak berkuasa agama negeri perlu pergiat program kesedaran vaksin Covid-19

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pihak berkuasa agama negeri-negeri memainkan lebih peranan dengan memperbanyakkan program kesedaran kepada masyarakat berhubung kepentingan pengambilan vaksin Covid-19.

Perkara itu antara ditekankan Perdana Menteri ketika Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Ke-68 hari ini yang antara lain bagi menyokong program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung.

Dalam mesyuarat yang diadakan secara persidangan video dihadiri ketua-ketua kerajaan negeri serta ahli-ahli lantikan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri menegaskan usaha mempromosikan galakan pengambilan imunisasi itu seharusnya tidak terhad kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri sahaja.

Kata beliau, ini memandangkan masih ramai dalam kalangan masyarakat umum tidak mendapat maklumat tepat mengenai keperluan mengambil vaksin.

“Saya berharap masyarakat mendapat penjelasan yang sejelas-jelasnya bahawa keputusan kerajaan dalam isu vaksin adalah berpandukan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember tahun lalu bahawa hukum mengenai penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.

Muhyiddin berkata, keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI ini juga telah disembah maklum dan mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja pada 4 Januari lalu.

Dalam hal ini, beliau berharap pihak berkuasa agama menggunakan semua platform yang ada menguar-uarkan berkenaan PICK, selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan bagi memastikan kadar peningkatan kes harian pandemik ini menjadi semakin tidak terkawal sebagaimana di beberapa negara lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN