KALAU pemandu Grab di Lembah Klang mengadu sukarnya mendapat penumpang pada zaman Covid-19 ini, masalah yang sama juga berlaku di Selatan tanah air, Johor Bahru.
Malah cerita salah seorang rakan pemandu Grab yang dikenali sebagai Wak, penurunan kadar penumpang di sana lebih teruk.
Lebih-lebih lagi bila kehilangan penumpang yang bekerja di Singapura.
Cerita Wak, ada beberapa faktor membuatkan pendapatan pemandu Grab terjejas teruk kerana Covid.
“Satu sebabnya bila tiada lagi warga Malaysia atau Singapura sendiri masuk bekerja di negara itu.
“Pekerja-pekerja kilang pun sudah tiada. Kalau ada pun mereka tak boleh keluar sewenang-wenangnya.
“Pekerja Indonesia yang kami panggil passing pun tak ada. Mereka ini yang tiada permit kerja atau pasport tapi sebulan sekali masuk ke Batam misalnya, untuk cop pasport.
“Ini antara penyumbang utama penumpang Grab di Johor Bahru. Sebab itu ‘perit’ sikit pendapatan kami di sini,” kata Wak.
Dalam pada kekurangan penumpang, muncul pula pemandu-pemandu Grab baru dengan kereta lebih mewah.
Dari mana pula mereka datang?
“Ini sebahagian orang kita yang bekerja di Singapura dan memandu ke sana. Bila tak lagi boleh masuk ke sana dan tiada kerja, mereka pun memandu Grab.
“Jadi, jangan hairan kalau nampak kereta Toyota Camry ke, Altis ke atau Serena baru itu sudah jadi Grab di sini.
“Pendekatan sekarang ini di Johor Bahru, Grab lagi banyak daripada penumpang,” kata Wak sambil tertawa.
Kalau dulu Wak kerap memandu waktu malam kerana mengelak kesesakan lalu lintas, namun sejak musim Covid-19 dan ditambah dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tak berkesudahan, mood memandu pun sudah merudum teruk.
“Dah tak seronok macam dulu. Nak buat Grab Food pun tak semangat, bagilah pada orang muda saja. Mereka banyak tenaga lagi.
“Sebabnya kalau kena hantar makanan ke rumah flat yang tiada lif, aduhai, jenuh panjat tangga. Dah umur macam ini, dah tak larat.
“Jadi, buat masa sekarang, saya keluar sesekali saja. Itu pun bergantung pada mood,” kata Wak.
Wak yang menjadikan Grab sebagai punca pendapatan, mempunyai dua kereta lagi yang disewakan kepada rakan untuk membuat Grab.
“Cuma itulah, bila pendapatan terjejas, orang nak bayar sewa kereta pun tak boleh.
“Seorang tu sudah pulang kereta, seorang lagi dah tak bayar sewa tiga bulan. Jadi, nak cakap apa. Kita pun faham rezeki Grab dah jatuh teruk,” katanya.
Apa pun kata Wak, bertahan sahajalah dengan apa yang ada dan hidup sederhana seadanya.
“Yang penting, kita doakan saja Covid ini cepat terhapus dan ekonomi kita pun pulih semula,” katanya.









