KOTA KINABALU: Hanya penyatuan parti-parti tempatan membolehkan Perikatan Nasional (PN) tunduk kepada tuntutan hak-hak Sabah yang sekian lama dirampas.
Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) , Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, Sabah mampu bangkit seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Sarawak sekiranya semua pemimpin parti-parti politik di negeri ini mengetepikan ego dan bersatu demi kepentingan negeri.
Beliau berkata, dalam penyatuan parti politik di Sabah, ramai yang mempersoal kenapa tidak boleh menjadi seperti Sarawak.
Hakikatnya, ujar beliau, pemimpin Sabah tidak mempunyai daya pemikiran yang sama seperti pemimpin Sarawak.
“Abang Johari yang kini anggota PN berani menyebut dia tidak membenarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO bertanding walau satu kerusi pun di Sarawak kerana dia tahu, PN memerlukan dia. Parti tempatan di Sarawak bersatu demi menjaga kepentingan rakyat mereka.
“Apa kurangnya di Sabah? Kita mempunyai semua sumber yang ada. Sekiranya kita mampu menuntut hak-hak kita rasanya kita tidak perlu lagi bergantung kepada Kuala Lumpur.
“Ini sebabnya saya dan rakan ahli Parlimen Warisan kekal berpendirian bahawa bukan pangkat dan kedudukan yang kami kejar,” katanya semasa program bual bicara ‘Penyatuan parti politik Sabah’ menerusi siaran langsung Facebook Warisan online semalam.
Katanya, Warisan yakin apabila hak dan tuntutan negeri Sabah dapat direalisasikan, mereka tidak perlu jawatan di Kuala Lumpur, ambil sahaja jawatan itu asalkan tuntutan Sabah boleh realisasikan.
Ahli Parlimen Sepanggar ini berkata, semasa UMNO memerintah dan memiliki dua pertiga majoriti, Sabah dan Sarawak hanya dipandang sepi kerana ketika itu mereka tidak memerlukan pemimpin dari kedua-dua negeri ini.
“Ketika kita berpeluang mencorakkan politik di persekutuan kita memilih untuk tidak bersatu dan kini Armada Bersatu mengatakan jangan dengar cakap Warisan kerana itu hanya epal beracun.
“Jika kita ketepikan ego dan meletakkan kepentingan Sabah sebagai nombor satu, PN boleh ditundukkan bagi memastikan tuntutan Sabah dan Sarawak dapat ditunaikan,” katanya.
Mohd. Azis berkata, idea kerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) itu timbul kerana asas penubuhan PBS adalah berasaskan masyarakat berbilang kaum dan asas itu hampir sama dengan Warisan.
Atas sebab itu Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyatakan dia berminat bekerjasama dengan PBS kerana sejarah PBS dan perjuangan Warisan itu hampir sama.
Jadi untuk mengekalkan agenda perjuangan menuntut hak dan kepentingan Sabah, tiada parti lain yang dilihat sesuai menjadi rakan sekutu. – UTUSAN ONLINE