PELABUHAN KLANG: Tindakan sebuah syarikat pemborong membawa masuk empat kontena bawang merah dari India tanpa mematuhi permit import, dipatahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor dalam pemeriksaan di Pelabuhan Klang Utara di sini, Jumaat lalu.
Dalam pemeriksaan kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu, sebanyak 120,000 kilogram (kg) bawang merah dianggarkan bernilai RM150,000 dirampas.
Pengarah Maqis Selangor, Zamri Hashim berkata, pemeriksaan mendapati kontena itu tiba pada 2 Mei lalu dan pemeriksaan dilakukan pegawai penguasa Maqis menemukan bawang merah diletakkan dalam empat kontena.
“Siasatan mendapati syarikat ini tidak mematuhi syarat yang dinyatakan dalam Permit Import MAQIS iaitu gagal mematuhi peraturan Sijil Perakuan 3P (Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan).
“Bekalan bawang merah ini dipercayai untuk dibekalkan kepada pemborong di pasaran tempatan dan ini adalah kesalahan pertama syarikat tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zamri menjelaskan, pihaknya memandang serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam kelestarian makanan negara.
“Kegagalan mematuhi syarat import adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 15(2), akta yang sama,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










