Lima individu termasuk Tajuddin diambil keterangan - Utusan Malaysia

Lima individu termasuk Tajuddin diambil keterangan

Sebuah kenderaan dipercayai dinaiki Tajuddin Abdul Rahman keluar dari pekarangan IPD Dang Wangi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan melibatkan bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilengkapkan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya telah selesai merekod keterangan lima keterangan termasuk Tajuddin.

“Ada lima keterangan diambil membabitkan kes ini iaitu satu daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ahli Parlimen Muar), tiga kakitangan Prasarana dan satu daripada Tajuddin.

“Selain itu, kita akan memangil beberapa pegamal media yang berada di situ untuk membantu melengkapkan siasatan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Tajuddin hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menaiki kereta jenis Mercedes bewarna perak kira-kira pukul 4.45 petang.

Tidak lama kemudian, Ahli Parlimen Pasir Salak itu dilihat keluar daripada pekarangan IPD Dang Wangi kira-kira pukul 5.45 petang.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut hadir di IPD sama kira-kira pukul 12.30 tengah hari bagi memberi keterangan berhubung ciapannya di Twitter berkaitan tindakan Tajuddin.

Baru-baru ini, video rakaman Tajuddin yang didakwa tidak mematuhi SOP ketika mengadakan sidang akhbar mengenai insiden kemalangan membabitkan tren di Stesen LRT Kuala Lumpur, Selasa lalu tular dalam media sosial.

Dalam sidang akhbar itu, Tajuddin dilihat hanya memakai pelindung muka tanpa memakai pelitup muka.

Susulan itu, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkutan) 2021.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN