Langgar larangan rentas daerah, negeri ketika wabak ibarat derhaka saranan Rasulullah - Utusan Malaysia

Langgar larangan rentas daerah, negeri ketika wabak ibarat derhaka saranan Rasulullah

ABDUL RAHMAN OSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Orang ramai diingatkan tidak menyalahkan kerajaan dan pihak berkuasa yang menguatkuasakan larangan rentas daerah dan negeri kerana mereka yang berbuat demikian boleh dikira sebagai menderhaka kepada saranan Nabi Muhammad SAW.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, Rasulullah juga melarang penduduk keluar dari kawasan wabak dan orang dari luar datang ke situ.

Katanya, jika rakyat khususnya umat Islam tidak patuh arahan itu, secara tidak langsung ia seolah-olah tidak mendengar dan menghormati saranan Rasulullah, maka boleh mengakibatkan berdosa.

“Dalam hal ini, saya ingin mengingatkan orang ramai supaya patuh kepada larangan (rentas daerah dan negeri) yang diumumkan kerajaan.

“Keputusan itu dibuat selepas mengambil pertimbangan sewajarnya dan menilai daripada pelbagai aspek bagi menbendung penularan pandemik Covid-19,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Larangan merentas kawasan ketika wabak ada dinyatakan dengan jelas melalui baginda Rasulullah kira-kira 1,400 tahun lalu.

Abdul Rahman berkata, hadis Rasulullah adalah garis panduan yang cukup jelas untuk difahami dan harus dijadikan rujukan apabila situasi wabak seperti pandemik Covid-19 berlaku dalam negara yang boleh dilihat sebagai suatu ancaman.

“Pematuhan ini sepatutnya bermula di peringkat mukim sebelum daerah dan negeri. Jika di peringkat mukim sudah boleh dikawal (pergerakan), ia pastinya tidak ada masalah untuk memutuskan rantaian (wabak) ini.

“Begitu juga dengan aktiviti di masjid atau surau, kalau ahli jawatan kuasa (AJK) masjid boleh memastikan hanya ahli kariah mereka yang hadir untuk solat Jumaat dan solat fardu yang lain, tidak ada masalah untuk membenarkan masjid itu dibuka.

“Apa yang menjadi isu sekarang apabila AJK masjid tidak dapat memastikan hanya ahli kariah masjid mereka sahaja yang datang dan kita bimbang ada orang luar (bukan ahli kariah) yang turut hadir, hingga boleh mencetuskan penularan,” katanya.

Sementara itu, katanya, tindakan kerajaan memperketat aktiviti merentas daerah dan negeri sepatutnya dipatuhi kerana inilah sebenarnya cara disarankan Rasulullah SAW dan ianya masih relevan untuk diguna pakai sehingga sekarang.

“Kita dilihat terlalu mementingkan prosedur operasi standard (SOP) hingga mengabaikan perkara utama yang sudah diingatkan Rasulullah melalui sabdanya tentang kaedah jika mahu menghentikan penularan sesuatu wabak yang sedang berlaku.

“Masalahnya masih ada yang tidak patuh dengan tindakan ini, maka akhirnya mengakibatkan jumlah kes positif Covid-19 semakin meningkat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN