JEMPOL: Sebuah kedai gunting rambut dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 selepas dikesan beroperasi lebih dari masa ditetapkan dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikemas kini bermula malam tadi.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kira-kira pukul 8.10 malam, pasukan petugas khas Pemantauan SOP PKP 3.0 telah membuat pemeriksaan ke atas kedai di Jalan Pasar Bahau, dekat sini.
Pemeriksaan berkenaan mendapati masih terdapat seorang pelanggan yang sedang mendapatkan khidmat menggunting rambut manakala seorang lagi sedang menunggu giliran.
Menurutnya, sekiranya tiada pemeriksaan, kedai gunting berkenaan berkemungkinan terus beroperasi lebih masa sedangkan operasi premis perniagaan dihadkan bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam sahaja.
“Dua individu atau pelanggan berusia 19 tahun di dalam premis tersebut juga melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka. Kedua-duanya dikenakan kompaun RM1,500 bagi setiap seorang.
“Tukang gunting rambut pula berusia 40 tahun dikenakan kompaun RM10,000 kerana beroperasi lebih dari masa yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chang Hook berkata, selain tiga kompaun berkenaan, satu lagi kompaun dikeluarkan di Taman ACBE selepas seorang lelaki berusia 23 tahun dikesan gagal mendaftar masuk ke dalam premis di lokasi berkenaan kira-kira pukul 6 petang.
Menurutnya, bagi kesalahan berkenaan lelaki tersebut dikompaun sebanyak RM1,500.
Kesemua kompaun dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – UTUSAN ONLINE










