PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan terdiri dari pelbagai agensi bagi mengumpul laporan insiden kemalangan Transit Aliran Ringan (LRT).
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ia diketuai Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Isham Ishak dengan jawatan kuasa tersebut disertai sembilan anggota.
“Semua laporan siasatan nahas pertembungan itu dikumpul sebelum dibentang dan dijadikan Nota Kabinet pada mesyuarat jemaah menteri kelak,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Jawatankuasa itu diberi masa 13 hari untuk menyiapkan kerja yang meliputi kronologi kejadian, jumlah mangsa serta tindakan susulan termasuk pelan penambahbaikan bagi jangka panjang.
Semalam, dua tren LRT bertembung berdekatan stesen KLCC di ibu negara mengakibatkan 64 penumpang dikejarkan ke HKL manakala baki 149 dirawat di lokasi kejadian berkenaan.
Menyentuh keanggotaan Jawatankuasa Siasatan, beliau berkata, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengangkutan, Normah Osman dilantik sebagai timbalan pengerusi.
Manakala Ketua Pengarah Keretapi Bahagian Darat Kementerian Pengangkutan, Mohd. Shahriman Shafein pula akan bertindak sebagai Sekretariat Jawatankuasa tersebut.
Ahli-ahlinya ialah Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat, Azlan Shah Al Bakri; Presiden Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datin Norlia Noah; Setiausaha Bahagian Darat Kementerian Pengangkutan, Wan Mohd. Asraf Wan Salleh; Penasihat Undang-undang Kementerian Pengangkutan, Azlin Sabtu dan Ketua Inspektor, Biro Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan, Brig. Jeneral Izani Ismail.
Empat nama dicadangkan iaitu Bekas Ketua Bahagian Rel, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Yuslizar Daud; Pengurus Isyarat Sokongan Penyelenggaraan, ERL Maintenance and Services Sdn. Bhd., Anthony Arokianathan; Pakar Pusat Kecemerlangan Industri Rel, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Prof. Madya Dr. Nor Aziati Abdul Hamid dan Pakar Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Wong Shaw Voon. – UTUSAN










