PETALING JAYA: Lima daripada enam gerabak nahas kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT), Isnin lepas dinaikkan malam tadi dan kerja-kerja pemulihan memasuki hari kedua hari ini.
Menurut kenyataan Prasarana Berhad (Prasarana), ia melibatkan kira-kira 50 staf kejuruteraan dan teknikal yang bekerja pada setiap syif daripada Jabatan Penyelenggaraan Rangkaian Trek, Jabatan Stok Kereta dan Jabatan Komunikasi dan Semboyan.
“Kerja-kerja pemulihan berjalan lancar dan dijangka selesai dalam masa tiga hari seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan. Sejurus selepas kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa pada malam berkenaan, pasukan pemulihan memulakan kerja mereka serta merta dengan membuat penilaian terhadap kerosakan dan diikuti dengan kerja-kerja awalan sebelum memulakan kerja-kerja pemulihan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, bahagian paling mencabar adalah untuk memisahkan gerabak-gerabak untuk kedua-dua tren dan menaikkan enam gerabak yang tergelincir kembali ke atas landasan.
“Kerja-kerja hari ini tertumpu kepada gerabak terakhir dan kerja-kerja berkaitan dengan proses mengeluarkan tren yang kemudiannya akan dibawa ke Depoh LRT Kelana Jaya di Subang,” katanya.- UTUSAN ONLINE










