KEPALA BATAS: Unit Rawatan Rapi Medan (Field) ICU yang sedang dibina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Kepala Batas (HKB) di sini, dijangka mula beroperasi Sabtu ini.
Ketika ini, kira-kira 40 anggota ATM dari Keluang, Johor dan Sungai Petani, Kedah memulakan kerja-kerja pemasangan Field ICU berkenaan bermula pukul 8 pagi ini.
Pegawai Memerintah Batalion Kedua Perubatan, Leftenan Kolonel Dr. Mohd. Zamri Derahman berkata, pihaknya akan cuba sedaya mungkin untuk melengkapkan Field ICU itu segera bagi membolehkan pesakit kritikal Covid-19 menerima rawatan.
“Kita menjangkakan paling awal Field ICU ini dapat beroperasi Sabtu ini, namun bergantung kepada persiapan kemudahan seperti bekalan air, elektrik dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Dr. Mohd. Zamri, Field ICU di HKB itu dibina berkonsepkan hibrid dan pertama kali dalam sejarah ATM menggunakan empat kontena sebagai bilik rawatan dan kemudahan utama.
Jelasnya, ia berbeza dengan beberapa pusat seumpama itu di negeri lain sebelum ini yang menjadikan dewan atau balai raya sebagai hospital medan.
Tambah beliau, Field ICU itu akan menempatkan sebanyak 27 buah katil yang mana 12 daripadanya ditempatkan di dalam tiga buah kontena manakala 15 katil lagi akan ditempatkan di tiga buah khemah khas yang dibina berdekatan.
“Selain itu, sebuah kontena juga akan dijadikan bilik X-Ray manakala terdapat lima pegawai perubatan termasuk dua pakar bius dari Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dan 30 anggota perubatan ATM ditugaskan menguruskan pesakit Covid-19 di sini,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan, terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan Field ICU yang dikhaskan untuk merawat pesakit kritikal di HKB atas faktor peningkatan kadar penggunaan katil ICU Covid-19 di hospital-hospital Pulau Pinang yang telah mencecah lebih 100 peratus.
Ujar Dr. Noor Hisham, pihaknya juga mendapati trend kemasukan pesakit ke ICU di Pulau Pinang meningkat lebih 45 peratus untuk tempoh dua minggu kebelakangan ini dan dijangka berterusan khususnya apabila wujudnya kluster-kluster baharu melibatkan rumah jagaan warga emas dan sebagainya. – UTUSAN










