Solat tarawih 20 rakaat dibenarkan di Johor - Mufti

Solat tarawih 20 rakaat dibenarkan di Johor – Mufti

YAHYA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) membenarkan solat sunat tarawih diikuti solat sunat witir diadakan di masjid dan surau di negeri ini bermula 1 Ramadan ini.

Mufti Negeri, Datuk Yahya Ahmad berkata, solat sunat tarawih hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dan solat sunat witir dilaksanakan sebanyak tiga rakaat dengan kehadiran jemaah pula diberi keutamaan kepada jemaah lelaki yang berusia tujuh tahun ke atas.

“Majlis jamuan, majlis berbuka puasa, sahur dan moreh dibenarkan dilaksanakan di dalam masjid dan surau di tempat yang dikhususkan oleh jawatankuasa masjid dan surau. 

“Juadah hendaklah dibungkus dan tidak boleh secara buffet, bertalam atau layan diri. Jamuan secara berhidang dibenarkan untuk dilaksanakan tidak melebihi 50 jemaah sahaja di ruang yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Yahya berkata, aktiviti yang melibatkan bermalam yang biasa diadakan sebelum ini tidak dibenarkan selain aktiviti memasak dalam kawasan masjid dan surau yang juga tidak dibenarkan, namun edaran bubur lambuk boleh dilakukan di dalam kedua-dua kawasan itu.

Tambahnya, bagi program pengimarahan masjid dan surau bersempena bulan Ramadan, terdapat beberapa program yang dikenakan sekatan masa seperti program tadarus al-Quran dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi satu jam selepas selesai solat witir atau waktu yang telah ditetapkan oleh pihak masjid dan surau.

“Program kuliah dan ceramah dibenarkan dalam tempoh tidak melebihi satu jam walau bagaimanapun tazkirah sebelum, selepas atau antara waktu solat tarawih tidak dibenarkan.

“Majlis khatam al-Quran dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi satu jam 30 minit, manakala majlis Qiamulail boleh dilaksanakan dalam tempoh dua jam sebelum masuk waktu subuh,” jelasnya. 

Beliau berkata, majlis penyerahan bantuan dibenarkan diadakan di masjid dan surau namun penganjurannya tidak melebihi satu jam.

Katanya, amalan membaca surah al-Mulk adalah dilaksanakan dalam program tadarus al-Quran selepas solat witir manakala amalan membaca surah al-Kahfi boleh dilaksanakan selepas solat Subuh pada hari Jumaat. 

“Imam, bilal dan noja digalakkan berbuka puasa di masjid dan surau tempat bertugas. Sepanjang program pengimarahan, kanak-kanak berumur tujuh tahun ke atas dibenarkan hadir dalam program yang diadakan di masjid dan surau,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya