Lapan peserta tanam serai raih pendapatan RM164,000

Lapan peserta tanam serai raih pendapatan RM164,000

ABDUL Rahman Mohamad (tengah) meninjau projek tanaman serai yang diusahakan oleh penduduk menerusi Program Rakan Strategik Projek Pertanian Tanaman Serai di Kampung Charuk Bakung, Kampung Dalam Wang, Baling, Kedah, hari ini. - FOTO/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seramai lapan peserta dari empat buah kampung di sini yang mengusahakan tanaman serai menerusi Program Rakan Strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sejak Oktober lalu dijangka dapat meraih pendapatan sebanyak RM164,000 apabila mula dituai dan pasarkan pada Julai ini.

Timbalan Menteri I Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, program tanaman serai yang diusahakan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melibatkan kawasan tanah terbiar di daerah ini.

Menurutnya, empat kampung yang terlibat ialah Kampung Charuk Bakung yang ditanam serai seluas 20 hektar dijangka mendapat hasil sebanyak 40 tan metrik, Kampung Baru berkeluasan 10 hektar  (18 tan metrik), Kampung Seberang seluas lima hektar (sembilan tan metrik) dan Kampung Weng Dalam pula 10 hektar (15 tan metrik).

“Tanaman serai dipilih untuk diusahakan oleh peserta terlibat kerana mudah dijaga dan jimat masa dengan sistem tanaman 4T iaitu tanam, tinggal, tuai dan teknikal.

“Hasilnya pula boleh dituai antara tujuh hingga lapan bulan dan harga jualannya sekitar RM2 sekilogram,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan dan Penghargaan Rakan Strategik KPLB di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas, Kampung Lalang, di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, beliau mengharapkan lebih ramai penduduk di daerah ini yang mempunyai tanah terbiar dapat mengusahakan tanaman serai menerusi program tersebut.

Selain itu, jelasnya, matlamat utama program ini adalah untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan luar bandar dengan aktiviti ekonomi.

“Melalui program ini, peserta akan dapat menjana pendapatan yang lebih baik melalui perkongsian strategik dan kolaborasi antara KPLB dan sektor swasta,” ujarnya.

Sementara itu, ketua projek tanaman serai itu, Mohd. Hassan Aziz berkata, projek tanaman serai ini dijangka dapat mengubah taraf hidup peserta apabila mereka dapat menuai hasil yang memuaskan.

“Projek ini juga memberi kesedaran kepada peserta untuk mengusahakan terbiar di sekeliling di kawasan mereka bagi mendapatkan pulangan yang lebih lumayan.

“Kami amat bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan agensi-agensi swasta yang sudi berkolaborasi dengan penduduk kampung bagi membantu meningkatkan taraf hidup,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya