fbpx

12 Mei 2021, 8:26 pm

  TERKINI

Kedai kopi tawar aktiviti judi antara lapan premis dipotong elektrik 

NOORZAINY MOHD. NOOR memerhati kakitangan TNB memotong bekalan elektrik di sebuah premis yang menawarkan aktiviti perjudian loteri dan nombor ekor haram dalam operasi di sekitar Butterworth, Pulau Pinang, hari ini. - FOTO/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Sebuah kedai kopi yang turut menawarkan aktiviti perjudian loteri dan nombor ekor haram antara lapan buah premis yang dikenakan tindakan pemotongan elektrik di sini hari ini. 

Tindakan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu diambil susulan 12 serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman bersama pasukan polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Ahad lalu. 

Menerusi serbuan itu juga, seramai 19 individu ditahan mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, selain kedai kopi serbuan turut dibuat di kedai telefon bimbit dan kontena yang dijadikan tempat menjual nombor ekor. 

“Modus operandi ejen jualan ini berbeza yang mana mereka akan duduk di kedai-kedai kopi dan bergerak ke premis lain untuk menjual nombor kepada pelanggan yang datang. 

“Pemilik kedai kopi turut dikenakan tindakan kerana membenarkan aktiviti terbabit berlangsung di premis mereka,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis memantau sebanyak19 bazar Ramadan termasuk sebuah bazar Aidilfitri yang berlangsung menjelang musim perayaan di sini. 

“Kita tempatkan pegawai dan anggota di bazar-bazar berkenaan bagi memastikan semua pihak sama ada penjual mahupun pembeli mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

“Pada masa sama, gerai persendirian yang dikunjungi ramai pelanggan turut kita perhatikan,” katanya. – UTUSAN

×
×