PETALING JAYA: Persaingan merebut jawatan dalam barisan kepemimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada September ini dijangka lebih sengit berbanding sebelumnya
Kelulusan statut dalam Kongres Luar Biasa FAM baru-baru ini, membolehkan gelanggang pertarungan ‘dibuka’ lebih luas, sekali gus membolehkan lebih ramai calon bertanding merebut jawatan.
Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John berkata, reformasi itu dirangka bagi menjadikan proses pemilihan FAM lebih inklusif serta menggalakkan penyertaan lebih meluas daripada pihak berkepentingan dalam bola sepak.
“Prinsipnya mudah, lebih ramai ahli, lebih rendah syarat pencalonan. Ini bermakna lebih ramai individu boleh bertanding. Jika dikira, hampir 10 orang boleh menjadi calon. Sebelum ini ramai yang mengeluh.
“Sesiapa sahaja sepatutnya boleh mengemukakan pencalonan untuk bertanding bagi mana-mana jawatan. Menang atau kalah itu soal lain tetapi mereka tidak seharusnya tersingkir sebelum sempat bertanding,” katanya.
Statut baharu badan induk bola sepak negara itu mengandungi 94 artikel hasil audit pentadbiran yang dijalankan AFC bagi memperkukuh tadbir urus bola sepak negara.
Antara pindaan utama yang diluluskan termasuklah penstrukturan semula komposisi Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM yang melibatkan pemansuhan jawatan Timbalan Presiden serta pengurangan jumlah Naib Presiden kepada tiga kerusi sahaja.
Selain itu, syarat kelayakan calon bagi jawatan Presiden dan Exco turut diperketatkan, di mana calon wajib mempunyai sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman dalam pengurusan bola sepak serta berstatus warganegara yang menetap di Malaysia.
Statut baharu itu turut mencadangkan penambahan ahli gabungan yang membolehkan kelab Liga Super menjadi ahli gabungan automatik dan layak mengundi, tertakluk kepada syarat entiti berasingan daripada persatuan bola sepak negeri.
Penglibatan wakil daripada Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), Persatuan Pengadil, dan liga kebangsaan lain turut diperkasakan dalam struktur baharu ini. – UTUSAN










