KUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan dan eksport Malaysia bagi empat bulan pertama tahun ini terus menunjukkan momentum positif meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global serta gangguan rantaian bekalan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Abu Bakar Yusof berkata, jumlah perdagangan negara bagi tempoh Januari hingga April 2025 berkembang sebanyak 15.53 peratus, manakala eksport mencatat pertumbuhan 19 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Katanya, prestasi memberangsangkan itu didorong oleh permintaan luar negara yang kekal kukuh terhadap beberapa sektor utama negara, termasuk elektronik, semikonduktor, peralatan optikal dan saintifik serta gas asli cecair (LNG).
“Walaupun krisis global memberi kesan kepada perdagangan antarabangsa dan rantaian bekalan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pengeksport Malaysia masih mampu mengekalkan daya tahan dan meneruskan aktiviti eksport,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa, di sini semalam.
Menurut beliau, angka rasmi perdagangan dan eksport bagi bulan Mei akan diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 19 Jun ini.
“Berdasarkan prestasi empat bulan pertama tahun ini, trajektori perdagangan dan eksport negara masih berada pada landasan positif. Namun, butiran lanjut perlu menunggu pengumuman rasmi,” katanya.
Dalam pada itu, Matrade dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani impak krisis Asia Barat terhadap sektor perdagangan negara.
“Pasukan itu melibatkan pelbagai pihak industri termasuk Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) serta persatuan ejen penghantaran dan logistik.
“Pasukan tersebut bermesyuarat secara berkala bagi menilai perkembangan semasa berkaitan logistik, laluan perkapalan dan akses pasaran yang mungkin terjejas akibat konflik geopolitik,” katanya.
Selain itu, Matrade turut mendapatkan maklumat daripada 47 pejabat perdagangan di luar negara bagi membantu syarikat tempatan mengurus risiko serta memastikan kelancaran penghantaran eksport.
“Sekiranya terdapat sebarang isu akses pasaran yang dihadapi pengeksport Malaysia, Matrade akan membantu sama ada secara individu atau berkumpulan bagi memastikan syarikat tempatan terus dapat menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sektor peranti perubatan merupakan antara industri yang mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sejajar dengan aspirasi Dasar Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030).
“Malaysia kini mengeksport produk peranti perubatan bernilai antara RM30 bilion hingga RM40 bilion setahun, termasuk sarung tangan getah dan pelbagai peralatan perubatan pakai buang.
“Namun,syarikat tempatan perlu mempelbagaikan produk kepada segmen bernilai tinggi yang memanfaatkan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet Kebendaan (IoT).
“Sektor perubatan dan penjagaan kesihatan merupakan industri bernilai tinggi. Masih terdapat ruang yang luas untuk syarikat tempatan menghasilkan produk berteknologi tinggi serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global,” katanya.
Selain pengeluaran produk perubatan, sektor perkhidmatan kesihatan turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan, khususnya dalam pelancongan perubatan.
Malaysia kini menerima hampir dua juta pesakit antarabangsa yang mendapatkan rawatan setiap tahun, sekali gus membuka peluang besar untuk pertumbuhan sektor kesihatan negara pada masa hadapan. – UTUSAN










