KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) melancarkan kempen jenama baharunya, “Moving You Forward,” bagi memperkukuh komitmen kumpulan itu dalam memperkasakan pelanggan, perniagaan dan komuniti di seluruh ASEAN.
Kempen tersebut berteraskan tujuan utama CIMB untuk memajukan pelanggan dan masyarakat, sekali gus menandakan evolusi seterusnya dalam perjalanan jenama institusi kewangan berkenaan.
Ketua Pegawai Jenama dan Pemasaran Kumpulan CIMB, Toni Darusman berkata, kempen itu mencerminkan aspirasi CIMB untuk menjadi bank yang memajukan rakyat di seluruh ASEAN, sekali gus penyediaan akses dan peluang kepada pelanggan mencapai matlamat mereka.
Menurutnya, CIMB mempunyai visi yang jelas dalam memandu segala yang dilakukan, iaitu menjadi bank yang memajukan aspirasi rakyat di seluruh ASEAN.
“Aspirasi kami melangkaui perbankan semata-mata kerana kami percaya kemajuan yang sebenar dan bermakna berlaku apabila perniagaan serta masyarakat bergerak maju bersama.
“‘Moving You Forward’ mencerminkan bagaimana kami merealisasikan tujuan untuk memajukan pelanggan dan masyarakat dengan cara yang lebih bermakna serta berimpak.
“Kami berbesar hati memperkenalkan kempen jenama baharu ini yang akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi media sosial, platform digital, pengiklanan luar rumah dan pelbagai saluran komunikasi lain di pasaran utama serantau.
“Ia termasuk penerbitan filem jenama, pemasangan mural di stesen MRT serta pelaksanaan aktiviti lapangan dan media sosial,” katanya pada najlis pelancaran kempen jenama baharunya, “Moving You Forward”, di sini semalam.
Melalui kempen itu, CIMB berhasrat memainkan peranan lebih aktif dalam membantu pelanggan mencapai kejayaan yang bermakna dan mampan.
Di semua pasaran operasinya, “Moving You Forward” berfungsi sebagai platform jenama yang menyatukan tujuan, budaya dan pelanggan di bawah satu tema bersama, selain memastikan pengalaman jenama yang konsisten serta relevan dengan keperluan pelanggan di rantau ASEAN.
Dalam pada itu, CIMB turut menegaskan bahawa kemajuan yang bermakna diukur melalui kekuatan dan daya tahan komuniti yang dilayaninya.
Komitmen tersebut diterjemahkan menerusi penganjuran sulung “CIMB Advancing Societies 2026 – Recognising Impactful Partners”, sebuah inisiatif serantau yang mengiktiraf rakan strategik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berjaya mewujudkan impak sosial positif di ASEAN.
Sebanyak 11 NGO, aktivis sosial dan rakan komuniti dari Malaysia, Singapura, Filipina serta Indonesia menerima pengiktirafan atas usaha mereka membantu komuniti kurang mendapat perkhidmatan, meningkatkan taraf hidup, memajukan pendidikan dan memelihara alam sekitar.
Atlet berbasikal trek negara dan Duta Jenama CIMB, Datuk Azizulhasni Awang turut menerima pengiktirafan “Kita Bagi Jadi Hero” sebagai penghargaan terhadap perjalanan inspirasi serta sumbangannya dalam memperkasakan masyarakat di luar arena sukan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Foundation dan CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd. Shariff berkata, kemajuan sebenar bukan hanya diukur menerusi program atau angka, sebaliknya melalui perubahan positif yang berlaku dalam kehidupan masyarakat.
“Di seluruh ASEAN, kami menyaksikan individu dan organisasi mewujudkan perubahan tersebut, meskipun bermula pada skala tempatan tetapi memberi kesan yang jauh lebih besar kepada komuniti.
“Kepercayaan ini terus menjadi panduan kepada komitmen kami untuk Memajukan Pelanggan dan Masyarakat, termasuk peruntukan RM200 juta bagi tempoh 2026 hingga 2030 untuk menyokong pelbagai inisiatif di ASEAN.
“Pendekatan kami memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan individu dan komuniti agar mereka mampu memulakan serta menerajui inisiatif yang mampan dalam jangka panjang, di samping membina keupayaan dan daya tahan untuk berkembang secara berdikari,” katanya. – UTUSAN










