Tiga berstatus gelaran Datuk, Datin Indragiri ditahan polis

Tiga Datuk, Datin Indragiri ditahan polis

ABDUL MAJID Mohd. Ali menunjukkan gambar tiga individu yang menggunakan gelaran Datuk dan Datin dipercayai palsu yang didakwa diterima daripada Sultan Kerajaan Indragiri, Indonesia. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis menahan tiga individu selepas menggunakan gelaran Datuk dan Datin dipercayai palsu yang didakwa diterima daripada Sultan Kerajaan Indragiri, Indonesia dalam serbuan di Bangi, Selangor, pada bulan lalu. 

Suspek adalah pasangan suami isteri berusia 43 dan 49 tahun yang turut mendakwa mereka ialah pengasas serta sekretariat Gabungan Datuk-Datuk Malaysia (GDDM), manakala seorang lagi lelaki berusia 57 tahun bertindak sebagai pegawai seranta bagi pertubuhan itu. 

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, tangkapan itu merupakan susulan hasil risikan melibatkan sebuah majlis makan malam beradat kolaborasi Pertubuhan Usahawan Elit Malaysia dengan pertubuhan itu yang diadakan di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini, pada 29 Ogos tahun lalu. 

“Hasil risikan pasukan Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Melaka mendapati acara itu telah dihadiri kira-kira 120 ahli juga terdiri daripada Datuk-datuk palsu yang lengkap memakai pakaian istiadat. 

“Susulan itu, pada 30 Januari lalu kita menahan tiga suspek termasuk pengasas pertubuhan itu dan hasil semakan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod sebagai penerima Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Persekutuan (DKBPP) dan Darjah Kebesaran Bergelar Negeri (DKBPN),”katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini, hari ini. 

Katanya, semakan itu dibuat dengan kerjasama Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, hasil siasatan, ketiga-tiga Datuk dan Datin palsu itu mendakwa menerima gelaran tersebut menerusi titah penganugerahan darjah kebesaran kerajaan Indragiri, Indonesia dari Sultan Negeri Indragiri ke XXVI dan Sultan Jajahan Takluknya, Sultan Haji Arif Sh. Sultan Mahmudsyah.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai menggunakan gelaran Datuk palsu ini bagi tujuan kepentingan tertentu termasuk mendapatkan pengaruh dalam perniagaan dan mengaburi tindakan mereka daripada dikesan pihak berkuasa. 

“Kita percaya mereka ini aktif menggunakan gelaran Datuk palsu kira-kira dua tahun,” ujarnya.

Tambahnya, daripada penahanan itu, pihaknya turut merampas sijil watikah penganugerahan, surat Kesultanan Kerajaan Indragiri, lambang adat dan istiadat Datuk, songkok berwarna hitam berlilit kuning dan sehelai selempang merah. 

Jelasnya, ketiga-tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 12 (2) Akta Kesalahan Berhubung Dengan Anugerah 2017 atas kesalahan menggunakan gelaran dan panggilan anugerah asing yang tidak diiktiraf. 

“Seksyen ini telah memperuntukkan seseorang warganegara tidak boleh menggunakan gelaran dan panggilan anugerah asing yang tidak diiktiraf dalam apa-apa bentuk dan cara. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun. 

“Kes ini merupakan kes pertama dalam negara yang disiasat di bawah seksyen tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya