PETALING JAYA: Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dilihat tidak sehaluan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, walaupun menganggotai Kabinet kerajaan tersebut.
Beliau dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO semalam melabel PN sebagai ‘kerajaan sementara.’
“Walaupun kita sekarang menjadi sebahagian daripada kerajaan, tetapi tidak bermakna ia memberi lampu hijau kepada `kerajaan sementara’ ini untuk bertindak sewenang-wenangnya.
“Ini tidak bermakna walaupun saya berpijak di dalam pentas yang sama, segala tindak-tanduk, segala keputusan yang boleh menodai kepercayaan rakyat, tidak semestinya kita akur. Marilah bersama-sama dengan saya, menjadi semak dan imbang kepada segala tindakan kerajaan,” kata Noraini.
Menurut beliau lagi, kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan rahmat kepada UMNO atau Pas sahaja malah rahmat kepada Islam, orang Melayu, masyarakat bumiputera dan seluruh rakyat di negara ini.
“Bayangkan kerosakan dilakukan kerajaan PH. Baik dari segi keharmonian antara kaum. Baik dari segi ekonomi. Segalanya berpaksikan kepada kelemahan sebuah kerajaan yang tidak bijak untuk mengemudi,” ujarnya.
Ujar Noraini, ibarat senjata yang tajam, kuasa itu jika dimanfaatkan dengan hikmah, ia membawakan kepada kesejahteraan, jika disalah guna, boleh melukakan dan membunuh kita.
“Secara peribadi, inilah tanggapan saya dalam keadaan politik orang Melayu hari ini. Walaupun kita tidak berperang dan berbunuhan secara fizikal, namun perang dan ‘pembunuhan’ dalam wacana politik juga bakal melemahkan politik Melayu-Islam sekali lagi,” tambahnya. – UTUSAN










