Perkeso NS sasar 4,000 penghantar makanan mencarum 

Perkeso NS sasar 4,000 penghantar makanan mencarum 

FUAD Alias memberi penerangan tentang manfaat caruman di bawah Program SKSPS Perkeso kepada penghantar makanan di Senawang, Seremban hari ini. - FOTO/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) Negeri Sembilan menyasarkan 4,000 pekerja khidmat penghantaran mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso pada tahun ini. 

Pengarah Perkeso negeri, Fuad Alias berkata, setakat awal bulan ini, hanya 641 orang mendaftar dengan Perkeso untuk mendapatkan perlindungan dan jumlah itu dijangka meningkat melalui hebahan yang dilakukan. 

“Tahap kesedaran ‘delivery riders’ di Negeri Sembilan tentang kepentingan mencarum masih lagi rendah, ramai yang belum mendaftar dengan Perkeso. 

“Mereka masih mengambil sikap tunggu dan lihat di mana mereka tidak memikirkan apa akan berlaku kepada diri dan tanggungan jika terlibat dalam kemalangan atau kematian (berkaitan bencana pekerjaan) berlaku,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pendaftaran SKSPS Perkeso untuk ‘Delivery Riders’ seperti Food Panda, Grab Food, Bungkusit dan Halo di Senawang di sini hari ini. 

Menurut Fuad, individu yang bekerja sebagai pekerja penghantaran makanan atau barangan yang menggunakan motosikal, basikal atau berjalan kaki layak untuk menerima insentif caruman penuh perlindungan keselamatan sosial yang disediakan oleh kerajaan. 

“Bantuan kerajaan ini disalurkan kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS) seperti ‘delivery riders’ melalui pembiayaan bayaran penuh (100 peratus) caruman. 

“Pelan caruman yang dibiayai oleh kerajaan di bawah program SKSPS adalah sebanyak RM232.80 untuk tempoh perlindungan setahun,” katanya. 

Jelas beliau, syarat  kelayakan untuk mencarum mestilah warganegara Malaysia, pemaustatin tetap dan bekerja sendiri di bawah kategori ‘delivery riders’ sepenuh masa atau secara sambilan. 

“Banyak manfaat yang diterima jika mereka mencarum termasuk bantuan perubatan jika terlibat kemalangan dan kita akan sediakan alat bantuan jika berlaku kecacatan atau hilang upaya. 

“Pada tahun ini, kita sudah terima enam tuntutan hilang upaya sementara melibatkan sektor pengangkutan penumpang, perniagaan atas talian dan lain-lain yang masih dalam proses semakan,” katanya. 

Pada bulan Januari lalu, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM24 juta bagi membiayai caruman ‘delivery riders’ di bawah program SKSPS Perkeso sebagai iniasitif kerajaan menghargai peranan mereka sebagai barisan sokongan semasa tempoh PKP. 

Sementara itu, seorang penghantar makanan Food Panda sepenuh masa, Danish Azrai Nor Azmi, 21, berkata, dia mendapat kesedaran untuk mendaftar dan mencarum selepas melihat sebuah iklan yang disiarkan oleh pihak Perkeso.

“Sebelum ini, saya tidak tahu bahawa Perkeso menyediakan perlindungan kepada ‘delivery riders’ seperti kami.

“Saya juga pernah terlibat dalam kemalangan ketika bekerja pada bulan Julai tahun lalu, tetapi kita itu saya belum mencarum dan menanggung sendiri kos rawatan,” katanya.

Bagi seorang pekerja penghantaran Bungkusit, Asmadi Basiron, 27, pula, kesedaran untuk mencarum di Perkeso diperoleh melalui media sosial selain mahu membuat persediaan sebelum perkara tidak diingini berlaku.

“Sebelum ini, banyak kes kemalangan melibatkan ‘delivery riders’ sehingga meragut nyawa dan kes langgar lari.

“Jadi, saya mengambil langkah awal mencarum untuk mendapat perlindungan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya